Berita UtamaDunia

Presiden Indonesia mahu pastikan vaksin COVID-19 halal

Cadangan beri vaksin kepada lebih 270 juta penduduk mencabar: Jokowi

JAKARTA, 3 Rabiulawal 1442H, Selasa – Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) mengingatkan negaranya supaya tidak terburu-buru menghasilkan vaksin COVID-19.

Beliau meluahkan kebimbangan terhadap kesedaran masyarakat mengenai status halal vaksin wabak yang sudah mengorbankan 1.12 juta penduduk dunia.

“Saya meminta supaya vaksin ini tidak dilancarkan secara tergesa-gesa kerana ia sangat sukar.

“Saya ingin memastikan ada persiapan yang baik, terutama berkaitan halal dan haram, harga dan kualiti,” katanya dalam satu pertemuan tertutup.

Dengan lebih dari 365,000 kes COVID-19 dan lebih dari 12,000 kematian, Indonesia kini giat berjuang untuk mengawal penularan wabak itu.

Sementara itu, pemerintah yang berlumba-lumba mendapatkan bekalan vaksin telah mendapat kecaman ahli epidemiologi yang masih mencari penawar dan mengkaji keberkesanan serta keselamatan vaksin yang dicipta.

Menteri-menteri kanan menyatakan bahawa kebenaran untuk mengeluarkan vaksin kecemasan hanya akan dapat diberikan awal bulan depan.

Sebelum ini, Indonesia berjanji untuk memvaksinkan lebih dari 100 juta penduduk pada tahun depan.

Bagaimanapun, Jokowi pada semalam berkata, skala untuk memberi vaksin kepada lebih 270 juta penduduk di negara itu adalah sangat mencabar.

Kontroversi sama ada vaksin mematuhi prinsip Islam telah mendapat respon daripada beberapa pihak kesihatan awam, termasuk pada 2018 ketika Majlis Ulama Indonesia mengeluarkan fatwa bahawa vaksin demam campak adalah haram dan dilarang menurut Islam. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button