Berita UtamaDunia

Ramai wanita lewat kenal pasti endometriosis

1 daripada 10 wanita di UK menderita masalah endometriosis

LONDON, 3 Rabiulawal 1442H, Selasa – Kajian All-Party Political Group (APPG) mendapati rata-rata wanita di United Kingdom (UK) lewat mendapatkan diagnosis – sehingga lapan tahun – untuk mengenal pasti masalah endometriosis.

Tinjauan itu dibuat ke atas lebih 10,000 wanita – yang menderita masalah endometriosis, dengan  berkongsi pengalaman mereka.

The Independent melaporkan, rata-rata wanita mengambil masa sehingga lapan tahun untuk mendapatkan diagnosis pada tahun ini, berbanding 7.5 tahun pada 2019.

Tinjauan juga mendapati 58 peratus wanita bertemu dengan doktor lebih dari 10 kali sebelum didiagnosis dan 53 peratus dimasukkan ke wad kerana bergejala sebelum diagnosis.

Endometriosis adalah keadaan di mana tisu yang sama dengan lapisan rahim (selaput rahim) mula tumbuh di tempat lain, seperti ovari dan tiub fallopian, kata Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS).

Penyakit endometriosis dihidapi oleh satu daripada 10 wanita di UK dan menyebabkan kesakitan yang melemahkan, haid yang sangat banyak dan kemandulan.

Untuk membantu mereka yang menderita endometriosis, APPG telah meminta pemerintah melakukan langkah-langkah sokongan – dengan mengurangkan masa diagnosis anggaran sasaran 4 tahun atau kurang pada tahun 2025, dan satu tahun atau kurang menjelang 2030.

Laporan tinjauan itu juga meminta pemerintah menyiasat perbezaan kesihatan dan menghentikan jurang etnik dan jantina dalam penyelidikan perubatan.

Pihaknya juga mengesyorkan semua negeri di UK mewujudkan kurikulum wajib yang mengajar mengenai haid di sekolah supaya golongan muda mengetahui tanda-tanda amaran dan mengetahui bila perlu mendapatkan bantuan.

Ahli Parlimen Konservatif Sir David Amess, yang mempengerusikan siasatan, mengatakan: “Penyakit endometriosis dan gejala yang dihadapi tidak boleh dipandang remeh kerana ia berkaitan dengan kitaran haid.”

Mengulas mengenai laporan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Endometriosis UK, Emma Cox berkata: “Rata-rata ketika diagnosis tahap endometriosis kekal pada 8 tahun – amat mengejutkan, maka tindakan mesti diambil untuk merawatnya.

“Tindakan diperlukan sekarang, untuk memastikan masa depan generasi berikutnya yang menderita endometriosis tidak ‘dirampas’ daripada apa yang mereka layak nikmati,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button