Berita Utama

Sultan Selangor dukacita ahli politik tak peduli kesusahan rakyat

Rakyat meluat tindak-tanduk ahli politik bercakaran rebut kuasa

BANGI, 3 Rabiulawal 1442H, Selasa – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan kebimbangan baginda berhubung kemelut politik negara yang dilihat tiada kesudahan sehingga menimbulkan keresahan rakyat di negara ini.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani dalam satu kenyataan hari ini berkata, Sultan Sharafuddin bertitah bahawa rakyat telah mulai bosan dan meluat  dengan segala tindak-tanduk ahli politik, yang sentiasa dilihat bercakaran dan bertelingkah dalam merebut kuasa pemerintahan negara.

“Baginda merasa dukacita kerana kebanyakan ahli-ahli politik seolah-olah tidak mempedulikan langsung masalah dan kesusahan yang dihadapi oleh rakyat yang terkesan akibat wabak COVID-19 dan ditambah pula dengan kedudukan ekonomi rakyat yang amat terjejas,” katanya.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati rakyat, khususnya ahli politik agar bermuhasabah supaya tidak mengheret negara ke kancah politik yang tidak menentu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka menjelaskan negara masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan sukar akibat ancaman wabak COVID-19.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mengambil maklum dan menyokong penuh kenyataan media yang dikeluarkan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 16 Oktober 2020 yang lalu.

“Al-Sultan Abdullah turut mengulangi titah nasihat baginda kepada Ahli-Ahli Parlimen semasa Istiadat Perasmian Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 Mei lalu.

“Baginda menuntut kematangan dalam berpolitik dan memahami serta menjiwai keluh kesah rakyat dan tidak mengabaikan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, Datuk Muhamad Munir berkata, Sultan Sharafuddin yang menyokong titah Al-Sultan Abdullah menggesa ahli-ahli politik supaya bertanggungjawab dalam memastikan penderitaan rakyat sentiasa menjadi keutamaan ketika melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka.

Katanya, baginda turut bertitah bahawa penderitaan rakyat dalam kehidupan seharian perlu segera ditangani dan diselesaikan dengan mengambil pendekatan drastik dan efektif.

“Oleh yang demikian, baginda mahukan semua pihak terutama ahli-ahli politik di negara ini untuk sentiasa bekerjasama tanpa mengira pendirian parti masing-masing dan sentiasa fokus di dalam membantu rakyat dan negara menangani masalah penyebaran wabak COVID-19, dan membina semula ekonomi negara yang teruk terjejas,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button