Berita Utama

Syor percubaan SPM negeri jadi aras ukur masuk IPT

Pilihan terakhir jika COVID-19 berlanjutan dalam tempoh panjang

KUALA LUMPUR, 3 Rabiulawal 1442H, Selasa – Peperiksaan utama persekolahan peringkat negeri perlu dijadikan aras ukur untuk pengambilan pelajar ke universiti atau matrikulasi dan bidang pengajiannya, syor Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru).

Bagaimanapun, Presidennya, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, akreditasi pentaksiran berkenaan perlu mendapat penyelarasan dengan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).

Beliau berkata, cadangan itu adalah pilihan terakhir sekiranya gelombang pandemik COVID-19 masih berlanjutan dalam tempoh panjang hingga mengakibatkan peperiksaan utama persekolahan ditangguh lagi.

“Contohnya, jika Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) ditiadakan (akibat darurat COVID-19). Peperiksaan percubaan SPM peringkat negeri boleh dijadikan aras ukuran pencapaian pelajar.

“Ia untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam atau swasta serta matrikulasi dengan mengikut piawaian skema markah dan gred yang tepat,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Beliau berkata demikian susulan penularan gelombang ketiga pandemik COVID-19 yang secara langsung turut menjejaskan institut pendidikan, khususnya pelajar sekolah yang menduduki peperiksaan utama.

Baru-baru ini, banyak sekolah ditutup terutama di kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam usaha kerajaan memutuskan penularan COVID-19.

Mengulas lanjut, Ustaz Mohd Azizee turut menyarankan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya mendapatkan pandangan semua pihak terutama guru, ibu bapa dan kesatuan perkhidmatan pendidikan sebelum memutuskan untuk menangguhkan peperiksaan utama persekolahan.

“Ini kerana langkah penangguhan ini bergantung kepada situasi dan perkembangan penularan COVID-19. Tidak semua kawasan terjejas. Perlu berlaku adil.

“Penangguhan dan pertukaran tarikh baharu akan merumitkan banyak keadaan, meningkatkan kos serta emosi pelajar akan terkesan,” katanya.

Tambahnya, KPM juga perlu menyediakan pelan kontigensi sebagai penyelesaian terbaik sekiranya berlaku sebarang penundaan, dengan memikirkan kaedah pentaksiran atau penilaian yang berbeza dengan sedia ada seperti peperiksaan virtual.

Beliau memberi contoh persamaan pihak universiti yang melaksanakan kuiz dan kertas kerja dalam talian.

“Pentaksiran pelajar peringkat sekolah secara berterusan sepanjang Tingkatan Empat hingga Tingkatan Lima boleh menjadi ukuran tahap pencapaian pelajar.

“Ini antaranya ujian formatif, sumatif, ujian diagnostik dan sebagainya dengan penyelarasan skema markah yang ada kesahan.

“Mungkin pada subjek tertentu perlu peperiksaan virtual seperti subjek sains dan matematik,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button