Berita Utama

UMNO, PAS setuju daftar Muafakat Nasional

Komitmen untuk kukuhkan perpaduan, persiapan menuju PRU15

BANGI, 3 Rabiulawal 1442H, Selasa – Dua parti terbesar Melayu – UMNO dan PAS bersetuju untuk mendaftarkan Muafakat Nasional (MN) secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS).

Pengumuman itu dikeluarkan dalam satu kenyataan bersama oleh Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, hari ini.

Mereka berkata, kerjasama itu adalah salah satu persiapan menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

“Kepimpinan Muafakat Nasional telah bersepakat secara bersama serta memberi komitmen untuk terus memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama antara parti sebagai persiapan menghadapi PRU15, akan datang.

“UMNO dan PAS telah bersetuju untuk mendaftarkan Muafakat Nasional secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia,” katanya.

Dalam kenyataan itu juga, mereka memaklumkan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Muafakat Nasional yang dijadualkan semalam, ditangguh seiring dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di Wilayah Persekutuan, Selangor dan Putrajaya bagi menangani penularan pandemik COVID-19.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button