Berita UtamaPendapat

Wanita PEMBELA gesa kerajaan gembleng usaha bersepadu hal ehwal wanita

Sambut baik saranan MACSA perhalusi Akta Kesamaan Gender

WANITA PEMBELA ingin menarik perhatian tentang kenyataan Malaysian Alliance of Civil Society for UPR Process (MACSA) berhubung isu- isu melibatkan wanita dan kekeluargaan

Rujuk; www.google.com/amp/s/www.malaymail.com/amp/news/what-you-think/2018/02/23/focussing-on-pressing-and-urgent-womens-issues-macsa/1583747

2. Antara isu-isu yang dibangkitkan isu sunat (berkhatan) bagi kanak-kanak perempuan daripada keluarga Islam, pemakaian berhijab (purdah) dan faktor tawaran pekerjaan yang menidakkan hak asas kepada kebebasan berpakaian, pendekatan mudah terhadap isu rumah tangga melibatkan hak jagaan anak selepas salah seorang pasangan memeluk agama Islam, dan cadangan kerajaan mewujudkan Akta Kesamaan Gender lanjutan daripada penilaian oleh CEDAW pada Februari tahun ini.

3. Wanita PEMBELA sebagai perkumpulan gerakan wanita bukan kerajaan yang sentiasa mengambil peduli hal wanita dan perkembangan semasa berkaitannya amat bersetuju dengan perkara yang dibangkitkan oleh MACSA khususnya berkenaan memperhalusi beberapa perkara di dalam Akta Kesamaan Gender iaitu, memperhalusi makna istilah ‘gender’ serta pemakaiannya supaya bersesuaian dan bertepatan dengan gaya hidup wanita tempatan bukannya mengikut beberapa kelompok wanita yang terasing gaya hidupnya daripada majoriti wanita tempatan.

4. Wanita PEMBELA memandang serius perkembangan semasa tentang pemakaian undang-undang keluarga sedia ada yang melibatkan konflik di antara pasangan berlainan agama khususnya perkara yang melibatkan salah seorang pasangan memeluk agama Islam dan tuntutan jagaan anak menjadi perbalahan – yang mana, jika dilihat dengan mata kasar, boleh membawa kepada polemik awam yang akan mempengaruhi secara negatif semangat muhibbah warganegara dan perpaduan bangsa secara keseluruhannya.

5. Wanita PEMBELA berpandangan bahawa undang-undang yang sedang berjalan dan diguna pakai sekarang sepatutnya dapat menyelesaikan sebarang pertelingkahan antara individu terlibat, juga undang-undang itu sudah pastinya akan memberikan ketenangan, rasa puashati, dapat membendung kacau-bilau serta membetulkan apa yang tidak betul mengikut hakikat kehidupan sebenar warganegara.

6. Iaitu, undang-undang itu membawa elemen keamanan dan ketenteraman secara keseluruhan kepada semua warganegara sama ada kita suka atau tidak dengan keputusan yang telah dibuat oleh pelaksana undang-undang. Sekiranya matlamat tersebut gagal dicapai, maka eloklah diteliti di mana punca khilaf atau kelompongan itu dan segera menanganinya.

7. Oleh itu, Wanita PEMBELA menggesa Kementerian Wanita dan Keluarga serta Jabatan Perdana Menteri agar dapat menggemblengkan usaha bersepadu mengenai hal ehwal wanita ini, sama ada di peringkat tempatan atau antarabangsa, agar kumpulan pergerakan wanita Islam tidak diketepikan peranan dan penglibatan mereka.

8. Adalah sangat mustahak kepada semua pihak yang berkenaan untuk memahami duduk perkara mengenai pergerakan perkumpulan wanita Islam ini kerana perkumpulan ini, walaupun wujud atas berbagai nama, namun ia melibatkan semua wanita Islam kalangan warganegara, tidak terhad kepada sesuatu kelompok keturunan semata-mata. Wanita PEMBELA akan sentiasa bergerak bagi tujuan tersebut demi menjadikan negara kita tempat terbaik bagi wanitanya daripada aspek pendidikan, kesihatan, kehidupan dan masa depan di dalam sektor ekonomi dan pembangunan negara.

Puan Azlinda Baroni
WANITA PEMBELA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button