Berita Utama

8 warga asing didenda, tiada penjarakan fizikal di pub

Lelaki warga Korea turut didenda gagal daftar diri dalam MySejahtera

KUALA LUMPUR, 4 Rabiulawal 1442H, Rabu  – Akibat gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal di sebuah pub ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), lapan warga asing masing-masing dijatuhi hukuman denda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret M. Saravanan menjatuhkan hukuman itu terhadap Rajiv Ahuja, Al Mutawakel Zaid Yahya Zaid, Larbi Belbaraka, Hayat Iskandar, Ibrhaem Mohammaed S Ibrahim, Mohamed Farah Yassin, Masetto Marco Braian dan Ayeyi Kolawale Isaac, yang masing-masing berumur antara 21 hingga 43 tahun, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapi.

Mahkamah turut memerintahkan kesemua Orang Kena Saman (OKS), yang antaranya warga Afrika dan Amerika Syarikat itu menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, kesemua OKS didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan No 8) 2020 dengan berhimpun tanpa penjarakan fizikal di Reggae Bar, 158, Jalan Tun HS Lee, Dang Wangi, di sini, pada 2.20 pagi, 19 Oktober lalu.

Kesalahan itu boleh dihukum di bawah Peraturan 11(1) peraturan sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda RM1,000 atau penjara yang boleh sampai enam bulan, atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Lim Chooi Yee memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas kesemua OKS.

“Kesemua OKS telah melanggar peraturan pencegahan pandemik, saya mohon mahkamah turut mengambil kira faktor peningkatan kes COVID-19 yang semakin mendadak sejak kebelakangan ini,” katanya.

Bagaimanapun, Belbaraka yang diwakili peguam Haijan Omar memohon hukuman denda minimum atas alasan anak guamnya telah insaf atas perbuatannya, manakala OKS lain yang tidak diwakili peguam turut merayu hukuman ringan.

Di mahkamah majistret lain, seorang lelaki warganegara Korea didenda RM500 atau penjara 14 hari kerana gagal mendaftar butiran diri dalam aplikasi My Sejahtera dan buku pendaftaran ketika memasuki kedai makan, dua minggu lepas.

Majistret Mohamad Fared Abdul Latif menjatuhkan hukuman itu selepas Chung Yun-Noh, lingkungan umur 60-an mengaku bersalah atas pertuduhan itu yang didakwa dilakukan di sebuah kedai makan di No. 46, lorong Kampung Pandan di sini, jam 10.40 pagi, 8 Oktober lalu.

Tertuduh membayar denda itu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 .

Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran manakala peguam Muhammad Syafiq Salleh yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda mengambil kira pengakuan salah tertuduh dan dia baru sahaja menjalani pembedahan mata. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button