Berita Utama

Addy Kanna, Alvin terbabit Macau Scam, judi dalam talian

12 pusat panggilan diserbu, 138 individu termasuk 95 warga China ditahan

KUALA LUMPUR, 4 Rabiulawal 1442H, Rabu – 12 pusat panggilan telah diserbu sejak Sabtu lalu, susulan pembongkaran sindiket perjudian dalam talian membabitkan Addy Kanna serta Goh Leong Yeong @ Alvin, awal bulan ini.

Serbuan dilakukan pihak polis itu dijalankan di sekitar Lembah Klang yang turut membabitkan penahanan 138 individu termasuk 95 warga China serta 43 warga tempatan.

Memetik Harian Metro, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan mendapati kebanyakan pusat panggilan diserbu menyasarkan mangsa di China.

Huzir berkata, seramai 55 orang direman mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953, manakala 85 individu diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

“Daripada 12 serbuan dijalankan, ada sebuah premis di Cheras didapati terbabit dengan kegiatan mempromosikan pelacuran di WeChat, QQApp dan Weibo.

“Selain itu, kami menahan seorang warga tempatan di sekitar Lembah Klang, semalam yang disyaki mempunyai kaitan dengan suspek yang melarikan diri.

“Kami akan menyiasat jika wujud pembabitan ahli politik dalam kegiatan ini, namun setakat ini kami tidak mengesan elemen berkenaan,” katanya.

Selain itu, Huzir berkata, serbuan turut dilakukan di pejabat Alvin di Plaza Low Yat di ibu negara.

Beliau tidak menolak kemungkinan keberadaan Alvin di plaza terbabit menjadi faktor dia mendapat ‘tawaran’ daripada sindiket di China.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati Addy mempunyai jenayah lampau bersabit kes samun mengikut Akta Ordinan Darurat 1969.

“Siasatan mendapati kedua-dua mereka adalah ejen sindiket didalangi warga China yang menjalankan kegiatan Macau Scam, penipuan pelaburan pertukaran mata wang asing (Forex) dan perjudian dalam talian.

“Kami dapati mereka memang terbabit dalam mencari peralatan, logistik dan kemudahan Internet. Wujud elemen ‘scam’. Bagaimanapun, siasatan lanjut akan dilakukan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Cawangan Khas.

“Perintah lanjut reman ketiga-tiga suspek termasuk Addy akan dimohon mengikut Seksyen 4 (2)(a) POCA selama 38 hari apabila tempoh reman mereka tamat pada 3 November depan,” ujarnya.

Huzir berkata, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sedang menjalankan siasatan berhubung tindakan Alvin yang berjaya melarikan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada 11 Oktober lalu.

Katanya, polis kini memburu tujuh individu berhubung premis pusat panggilan bagi perjudian dalam talian yang bergerak aktif di sekitar Lembah Klang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button