Berita UtamaIstimewa

Bangsa Melayu takkan maju jika ‘aktor politik’ sama perintah negara

Berebut cari kepentingan diri, pengikut pula dijadikan batu loncatan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 4 Rabiulawal 1442H, Rabu – Senario politik sekarang jelas menampakkan pemimpin sedia ada sibuk mencari kepentingan diri – sehingga parti Melayu yang kononnya memperjuangkan rakyat – kini hilang arah perjuangan.

Pemerhati politik, Ustaz Sharipudin Ab Kadir berkata, perjuangan Melayu hanya sebagai umpan untuk memenangi pengundi Melayu.

“Perjuangan yang tidak ada asas kukuh dan jelas akan menghasilkan satu perjuangan untuk kepentingan peribadi.

“Mereka yang berada dalam parti akan berebut peluang mencari kepentingan diri masing-masing dengan menjadikan pengikut sebagai batu loncatan untuk sampai ke puncak.

“Ini yang berlaku sekarang dalam parti Melayu yang ada,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan ini, beliau menegaskan bahawa perjuangan bangsa Melayu tidak akan maju ke depan jika masih dengan ‘aktor-aktor’ yang ada.

“Saya tidak begitu suka guna tokoh politik kerana mereka bukan tokoh. Mereka adalah aktor parti untuk mencari kepentingan diri

“Sekian lama kita diperintah oleh mereka yang ada sekarang ini. Apa yang bangsa Melayu dapat. Ini bermakna jika mereka diberi peluang lagi, bangsa Melayu akan dikuburkan untuk kali kedua oleh pemimpin yang sama,” katanya.

Mengenai penubuhan Muafakat Nasional (MN), Ustaz Sharipudin berkata, pada awalnya MN didukungi UMNO dan PAS yang merasakan mereka boleh menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), jika wujud gabungan antara kedua-dua parti itu untuk berdepan dengan Pakatan Harapan (PH).

“Ini bermakna agenda utama MN adalah untuk menang dalam pilihan raya. Perkiraan mereka ialah gabungan untuk menang dalam PRU. Gagasan dan wawasan untuk bangsa dan agama belum jelas.

“Bahasa mudah MN hanyalah pakatan UMNO dan PAS untuk memenangi PRU. Sama dengan pakatan campuran parti-parti di lain-lain negara untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Secara ringkasnya beliau merumuskan, satu ketika UMNO dan PAS boleh bersama dan satu ketika lain mereka boleh berpecah bergantung kepada kepentingan masing masing.

“Perjuangan yang tidak berpaksi kepada asas yang jelas akan terumbang-ambing ketika berdepan dengan cabaran yang melintang.

“Ibarat satu kapal di tengah lautan yang ganas ada dua nakhoda dan dua kumpulan anak kapal,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button