Kes guru dipenggal: Perancis arah tutup sementara masjid
Arahan penutupan enam bulan cegah tindakan keganasan

PARIS, 4 Rabiulawal 1442H, Rabu – Perancis mengarahkan penutupan sementara sebuah masjid di luar Paris semalam, susulan terhadap pihak yang disyaki menimbulkan kebencian, selepas kes pembunuhan seorang guru yang menunjukkan karikatur Nabi Muhammad ﷺ dalam kelas.
Masjid Agung Pantin, di pinggir bandar timur laut ibu kota, telah berkongsi video di laman Facebooknya sebelum serangan yang menimbulkan kebencian terhadap guru sejarah, Samuel Paty, yang dipenggal kepala minggu lalu.
Polis memaparkan notis arahan penutupan di luar masjid memandangkan pihak berkuasa berjanji tindak balas yang keras terhadap penyebar mesej kebencian, penceramah khutbah kontroversi dan warga asing yang dipercayai menimbulkan ancaman keselamatan kepada Perancis.
“Arahan penutupan enam bulan itu antara satu-satunya tujuan untuk mencegah tindakan keganasan”, demikian notis dikeluarkan ketua jabatan Seine-Saint-Denis.
Siasatan terhadap pembunuhan yang mengerikan itu pada hari Selasa mendedahkan bahawa lelaki yang memenggal Paty telah berhubung dengan ibu bapa yang mengetuai kempen dalam talian terhadap guru itu.
Sumber polis berkata, pembunuh berusia 18 tahun itu telah bertukar-tukar mesej di WhatsApp dengan seorang lelaki yang mahu Paty dipecat selepas anak perempuannya memberitahu bagaimana guru itu menunjukkan kartun Nabi Muhammad ﷺ sebagai bahan perbincangan mengenai kebebasan berucap.
Bapa pelajar itu berang kerana guru sejarah berkenaan menunjukkan karikatur Nabi berbogel, dan meminta pemecatan Paty kerana menyebarkan ‘pornografi’.
Ibu bapa yang berada di belakang kempen dalam talian mendesak ‘mobilisasi’ terhadap guru itu.
Media sebelum ini melaporkan individu yang memenggal kepala guru berkenaan ditembak polis dan meninggal di lokasi kejadian, susulan kecederaan dialaminya.
Hasil pemeriksaan polis kemudian menjumpai dokumen pengenalan diri pada badan suspek.
Perancis sebelum ini mencatatkan beberapa siri keganasan Islam, sejak serangan pada 2015 yang menyasarkan pejabat penerbitan majalah sensasi, Charlie Hebdo dan pasar raya Yahudi. – Agensi