Berita Utama

Krisis air: Pantau kilang supaya tak buang bahan tercemar dalam sungai

Sehingga kini masih tiada pelan penyelesaian masalah air di Selangor

BANGI, 4 Rabiulawal 1442H, Rabu – Dasar mementingkan pembangunan ekonomi, tetapi tidak tumpu perlindungan kawasan tadahan antara penyumbang krisis air di Selangor.

Bahkan, sehingga kini masih tiada pelan penyelesaian masalah air di negeri yang dianggap sebagai pusat penjanaan ekonomi negara dan antara terkaya di Malaysia.

Akibat krisis tidak berkesudahan, kerajaan negeri dikritik kerana dikatakan tiada pelan penyelesaian apabila kejadian sama kerap berulang.

Ketua Laboratori, Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata, sepanjang bulan ini sahaja, beberapa kejadian gangguan bekalan air di Selangor dan Kuala Lumpur berlaku.

“Antara terbesar, dua Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi dihentikan operasi akibat pencemaran di Sungai Batang Benar.

“Krisis air pernah berlaku pada 1998 dan 2009 di Lembah Klang apabila tiga empangan air mengalami penuruhnan air serius disebabkan fenomena El Nino.

“Kini, ia diakibatkan perbuatan segelintir mencemarkan sungai. Natijahnya, 60 peratus bekalan air mentah kepada penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur terjejas,” katanya.

Menulis di Berita Harian hari ini, Dr Haliza berkata, Sungai di Selangor sering dicemari melalui pelepasan sisa pihak tidak bertanggungjawab. 

Katanya, di sepanjang sungai seperti jajaran Sungai Semenyih, ratusan kilang beroperasi dengan sebahagiannya industri berasaskan cecair seperti minyak atau bahan kimia, itu belum lagi kilang beroperasi secara haram.

“Justeru, kerajaan negeri yang menguruskan pelesenan operasi kilang perlu menjalankan pemantauan agar kilang mematuhi peraturan, bukan membuang bahan tercemar ke dalam sungai.

“Kesan paling ketara, pembangunan negeri terjejas. Contohnya, antara 2016 hingga Januari 2018, sebanyak 761 permohonan pembangunan hartanah baharu di Selangor terpaksa ditangguhkan apabila Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) tidak dapat memberikan jaminan bekalan air mencukupi.

“Kekerapan berlakunya lejadian henti tugas tidak berjadual mutakhir ini perlu disiasat dan tindakan tegas wajib diambil kerajaan,” katanya.

Krisis air di Selangor kali ini membabitkan lebih 1.2 juta pemegang akaun – dipercayai disebabkan bahan pelarut (solvent) yang menjadi punca kepada pencemaran bau. 

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beberapa kawasan kilang dikenal pasti menjadi punca pencemaran berkenaan. 

Beliau pada masa sama tidak menolak kemungkinan bahan pelarut itu dibuang oleh kilang-kilang haram yang beroperasi di sekitar Selangor.

September lalu, penduduk Selangor menghadapi masalah sama – gangguan bekalan air – berpunca daripada pencemaran bau oleh kilang yang beroperasi secara haram sejak 2014.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button