Berita Utama

Macau Scam: SPRM akan panggil 10 lagi artis

‘Mereka termasuk dua artis wanita, pengacara lelaki’: Sumber

BANGI, 4 Rabiulawal 1442H, Rabu – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil 10 lagi artis dan selebriti bagi membantu siasatan berkaitan aktiviti pengubahan wang haram membabitkan kumpulan cuci duit haram dan perjudian dalam talian.

Menurut sumber, semua artis terbabit akan diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi memberi keterangan .

“Mereka termasuk dua artis wanita dan lelaki yang juga pengacara dan pelakon terkenal.

“Ramai lagi akan dipanggil kerana mereka diperlukan untuk membantu siasatan penipuan Macau Scam dan judi dalam talian,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Sumber turut berkata, SPRM semalam telah memanggil sembilan lagi individu termasuk dua lelaki yang juga Instafamous.

Ia selepas hampir dua minggu tempoh diberikan agensi itu untuk tampil memberikan keterangan secara sukarela.

“Semua mereka yang berusia antara 25 hingga 32 tahun itu dirakam percakapan pada 3 petang semalam. Mereka adalah rakan kepada isteri suspek utama.

“Ada yang hadir di pejabat SPRM, ada yang diambil keterangan di luar,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki meminta semua selebriti dan ahli perniagaan terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram supaya tampil membantu siasatan.

Katanya, arahan itu bagi mengelakkan SPRM menahan mereka yang berkenaan dalam masa terdekat.

“Tidak kira selebriti atau siapapun dan mana-mana pihak yang pernah menerima (dana sindiket) daripada individu yang ditahan SPRM, mereka diminta tampil sebelum kami panggil,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button