Berita Utama

Pemuda ISMA buat laporan, minta polis siasat Ronnie Liu

Hantaran pemimpin DAP seperti cuba hasut rakyat berontak terhadap Agong

BANGI, 4 Rabiulawal 1442H, Rabu – Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menyiasat pemimpin DAP, Ronnie Liu kerana memuat naik satu kenyataan menghina institusi diraja.

Terdahulu, Ronnie memuat naik satu hantaran Facebook mengenai keadaan di Thailand yang mengadakan demontrasi terhadap rajanya – yang seolah-olah menghasut rakyat untuk turut berbuat demikian.

“Sekarang di Bangkok. Mereka (rakyat Thailand) mengatakan tidak kepada raja,” menurut hantaran Ronnie yang turut memaparkan tiga keping gambar demontrasi di negara itu.

Bagaimanapun, hantaran berkenaan telah dipadamkan oleh Ronnie, namun sempat ditangkap layar netizen dan memviralkan posting berkenaan di media sosial.

Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) diketuai Jawatankuasa Gerakan Massa, Soufi Anual dan Jawatankuasa Hubungan Luar, Luqman Abd Hamid di Balai Polis Bandar Baru Bangi, hari ini.

Soufi berkata, laporan polis itu dibuat bagi menuntut pihak polis menyiasat niat Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP itu.

“Posting berkenaan dilihat menghasut rakyat supaya memberontak terhadap pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan menggambarkan perkara berkenaan perlu berlaku di Malaysia.

“Saya membuat laporan ini supaya pihak berkuasa dapat menyiasat niat di sebalik posting berkenaan dan mengenakan hukuman yang berat kepada semua dalang yang telah banyak kali menggerakkan cubaan menjatuhkan institusi raja di Malaysia,” katanya.

Semalam, Armada Malaiyu Malaysia – NGO di bawah Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) – turut membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, meminta pihak berkuasa menyiasat tindakan Ronnie Liu itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button