Berita UtamaPendapat

Penyelesaian krisis demokrasi berparlimen

Utamakan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat serta negara

ASSALAMUALAIKUM WRT WBT,

Moga para pembaca senantiasa tenang menjalani hari yang mencabar.

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semakin ketat bagi rakan-rakan di Lembah Kelang.

Bagi rakan di negeri-negeri lain, sentiasalah kita menjaga diri. Sama-sama kita memutuskan rangkaian sebaran COVID-19.

Pada paparan ini saya mahu berkongsi tentang beberapa perkara berkaitan isu semasa dan pandangan undang-undang mengenainya.

Dalam amalan demokrasi berparlimen, proses demokratik itu penting bagi merungkai selirat politik.

Maka Perlembagaan Persekutuan membolehkan Raja Berperlembagaan mengambil tempat, menjadi pengimbang dan seterusnya bertindak meleraikan kekusutan, sekiranya proses demokrasi menemui jalan buntu.

Sebagai ketua negara, puncak atau mercu kedaulatan negara, pastinya Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan untuk menstabilkan apa jua keadaan, yang menjejaskan kemakmuran dan keselamatan rakyat serta negara.

Justeru, dari semasa ke semasa, raja berperlembagaan boleh menasihati dan memberi panduan kepada semua pihak.

PERUNDINGAN

Ruang proses demokrasi, seperti perundingan antara parti politik atau individu politikus, perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

Perundingan adalah mekanisme demokrasi berparlimen yang terbaik.

Perundingan juga menunjukkan nilai dan halusnya budi serta tingginya pekerti para pemain politik.

Sesungguhnya keadaan lebih tenteram melalui persetujuan dalam rundingan.

Sesungguhnya rundingan boleh menghasilkan kesefahaman, supaya yang dikendung tidak berciciran dan apa yang dikejar juga dapat diselamatkan.

Sekiranya mengekalkan status quo, iaitu berpegang pada persefahaman awal pembentukan kerajaan adalah yang terbaik, maka pastinya itu juga terbaik, asalkan ia adalah keputusan menerusi rundingan.

Sesungguhnya pendekatan sulh itu adalah tuntutan agama.

Tidak salah, malah amat bertepatan dan sebenarnya satu tuntutan untuk semua pemain politik mengambil pendekatan sulh ini – permainan politik dan prinsip agama tidak boleh dipisah-pisahkan.

PROSES MELALUI DEWAN PARLIMEN

Sekiranya perundingan sebegini tidak berupaya menyelesaikan krisis, maka mekanisme demokrasi berparlimen boleh berlaku dalam Dewan Parlimen melalui undi tidak percaya (sila rujuk paparan saya sebelum ini).

Sekiranya undi tidak percaya diluluskan, maka Perdana Menteri tiada pilihan, kecuali menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong berkenaannya.

Pada ketika ini peranan raja berperlembagaan boleh bermula.

Perdana Menteri hendaklah meletak jawatan atau meminta Yang di-Pertuan Agong membubarkan Dewan menurut Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

Sekiranya Perdana Menteri enggan meletakkan jawatan dan meminta Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen, tetapi Yang di-Pertuan Agong enggan membubarkan Dewan, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan.

Mungkin pembubaran Parlimen demi melaksanakan pilihan raya umum bukan pilihan terbaik bagi negara pada ketika ini akibat daripada penyebaran pandemik COVID-19.

Pilihan Raya negeri Sabah pada 26 Oktober lepas menjadi bukti.

Namun, sekiranya pembubaran Dewan adalah pilihan terbaik bagi negara, maka seluruh jentera perlu bersiap siaga untuk Pilihan Raya Umum.

Berbalik kepada undi tidak percaya, secara amalannya, agak sukar untuk undi tidak percaya dibahaskan.

Peraturan 15 Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat memperuntukkan supaya urusan kerajaan didahulukan, kecuali seorang Menteri membuat usul di bawah sub-Perturan 14(2) bagi membolehkan urusan ahli persendirian diangkat ke agenda mesyuarat yang lebih awal.

Sekiranya ini berlaku, masih ada kemungkinan untuk usul undi tidak percaya itu dibahaskan dalam Dewan.

Dengan itu, krisis demokrasi berparlimen ini boleh diselesaikan melalui proses demokrasi berparlimen itu sendiri.

Sekiranya undi tidak percaya itu gagal mendapat sokongan majoriti, ia sekali gus membuktikan Perdana Menteri mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat dan beliau boleh kekal menjawat jawatan Perdana Menteri.

Satu lagi proses demokrasi berparlimen yang boleh berlaku dalam Dewan ialah dengan tidak meluluskan Rang Undang-Undang yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan.

Sekiranya ini berlaku, ia menunjukkan Perdana Menteri hilang kepercayaan.

Tindakan yang perlu dilakukan oleh Perdana Menteri ialah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Perdana Menteri mempunyai pilihan seperti yang nyatakan dalam 43(4) di atas.

Walaupun begitu, proses ini mungkin tidak menjadi popular kerana tindakan tidak menyokong Rang Undang-Undang (RUU) yang kelihatan prihatin atau baik kepada rakyat akan memberi kesan tidak baik kepada batuan(mileage) politik mereka.

Namun, sekiranya Rang Undang-Undang berjaya diluluskan, ini bermakna Perdana Menteri mempunyai kepercayaan majoriti.

PERDANA MENTERI INTERIM

Adakah lantikan Perdana Menteri interim boleh menjadi pilihan?

Ketika jawatan Perdana Menteri masih berisi, Perdana Menteri interim tidak boleh dilantik.

Perdana Menteri interim ini bermaksud Perdana Menteri yang dilantik bagi jangka masa tertentu sahaja sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Perdana Menteri interim hanya boleh dilantik apabila jawatan Perdana Menteri telah kosong.

Walaupun Yang di-Pertuan Agong perlu melantik seorang Perdana Menteri untuk maksud seketika atau sementara (interim) sahaja, lantikan itu dibuat menurut Perkara 43(2)(a).

Namun, komplikasi perundangan mungkin berlaku dalam lantikan Perdana Menteri sementara ini kerana syarat dalam Perkara 43(2)(a) ialah seseorang itu juga perlu, pada hemat baginda, mungkin mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan.

HILANG KEPERCAYAAN DI LUAR DEWAN

Selain daripada proses demokrasi dalam Dewan, keadaan hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri juga boleh berlaku di luar Dewan apabila wujudnya keadaan luar biasa atau extraneous circumstances.

Dalam pengalaman Malaysia, keadaan luar biasa ini berlaku apabila ahli Parlimen menukar kepercayaan, sama ada dengan bertukar parti, atau bertukar kepercayaan, walaupun tidak menukar parti.

Tukar parti dapat dilihat dalam peristiwa di negeri Terengganu (1961), Sabah (1994/1995) dan Perak (2009).

Pada peringkat Persekutuan, peristiwa Februari 2020 menunjukkan perpecahan parti Perdana Menteri dan parti gabungan.

Bagi Raja Berperlembagaan keadaan luar biasa ini adalah amat genting kerana ia berkehendakkan keseimbangan antara amalan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, yang mana garis pemisah antara keduanya amat nipis.

Sekiranya tergelincir, ia mengakibatkan campur tangan Raja Berperlembagaan dalam demokrasi berparlimen.

Keadaan ini tidak boleh berlaku kerana ia akan menjejaskan institusi beraja itu sendiri.

KAEDAH SIMPANAN

Selain daripada proses demokrasi berparlimen terdapat dua kaedah “simpanan” bagi menyelesaikan krisis demokrasi berparlimen; iaitu memprorog Parlimen dan membuat proklamasi darurat.

Kedua-dua ini adalah kuasa tersimpan yang kekal di bawah prerogatif Raja Berperlembagaan.

Kuasa ini boleh dilakukan hanya apabila keadaan genting dan jalan penyelesaian lain secara demokratik menemui jalan buntu.

(1) Memprorog parlimen bermaksud memberhentikan parlimen. Ia adalah ciri biasa bagi Perlembagaan model Westminster.

Ia adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagaimana termaktub dalam Perkara 55

(2) Kuasa tersimpan ini tidak dinyatakan secara langsung supaya dilaksanakan atas nasihat.

Ia adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah perutukan berkaitan Badan Perundangan.

Walaupun begitu, ia sering dikaitkan dengan Perkara 40, iaitu Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat.

Walaupun begitu, perlu diberikan perhatian, Perkara 40 adalah peruntukan dalam Bab Badan Eksekutif dan Perkara 55 adalah berkaitan Badan Perundangan yang mana Yang di-Pertuan Agong adalah satu daripada tiga komponen Parlimen.

Walaupun memprorog Parlimen dibenarkan oleh undang-undang, namun prinsip asal demokrasi, iaitu kerajaan bertanggungjawab dan keluhuran Perlembagaan tetap menjadi kayu pengukur.

Kerajaan hendaklah mengambil kira prinsip bertanggungjawab kepada Parlimen walaupun tiada sidang parlimen.

(3) Pengisytiharan darurat adalah juga kaedah tersimpan. Ia adalah pengisytiharan oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150.

Pengisytiharan boleh dibuat setelah baginda berpuas hati berlakunya darurat besar yang menggugat keselamatan dan kehidupan ekonomi negara, atau ketenteraman awam.

Pengisytiharan darurat pernah dibuat dua kali dalam hal berkaitan kemelut demokrasi berparlimen pada peringkat negeri, iaitu di Sarawak dan Kelantan.

PENUTUP

Walau apapun, proses demokrasi atau kuasa tersimpan yang diambil ia hendaklah sentiasa mengutamakan keselamatan dan kemakmuran rakyat serta negara lebih-lebih lagi dalam keadaan semasa.

Prof Dr Shamrahayu A Aziz
Pakar Perlembagaan

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button