Berita Utama

PM patut tonjol sifat negarawan, adil dalam isu peruntukan kawasan

Hormati pilihan pengundi terutama di kawasan pembangkang

BANGI, 17 Syaaban 1445H, Selasa – Peruntukan pembangunan kawasan (CDF) sepatutnya diberi kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti demi kelangsungan hak lebih 33 juta rakyat negara ini.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, kerajaan tidak seharusnya berdolak-dalik, sebaliknya wajib memberikan peruntukan pembangunan kawasan kepada wakil rakyat, termasuk Ahli Dewan Negara tanpa syarat dan berat sebelah.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negara berkata, ia juga selari dengan maksud tersirat dalam titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim semalam, yang cakna dan merasai denyut nadi, kesusahan serta keluh kesah rakyat.

“Sebenarnya Kerajaan Perpaduan patut memahami bahawa di bahu 222 Ahli Parlimen itulah sebenarnya harapan lebih 33 juta rakyat yang telah diberikan amanah rakyat.

“Sepatutnya PM dan barisan Kabinet menonjolkan sifat negarawan itu, jangan sampai Tuanku Agong menegur,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Menurut Razali, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kabinetnya perlu menghormati pilihan pengundi terutama di kawasan pembangkang, selain tidak bersikap mengugut atau tarik tali.

“Kerajaan kena memahami maksud tersirat Tuanku Agong secara bersungguh-sungguh.

“Tinggal sahaja amalan tidak adil ini yang bermula di zaman BN (Barisan Nasional) dan sekarang PH (Pakatan Harapan) pula,” katanya.

Semalam, Sultan Ibrahim dalam Titah Sulung Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 menzahirkan peringatan, nasihat dan pandangan dalam pelbagai topik.

Ini termasuklah tingkah laku Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat dalam persidangan, keperluan merangka dasar kukuh perpaduan negara, isu karenah birokrasi, hutang negara serta kestabilan politik.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button