Berita Utama

PKPD di penjara, kuarters Penjara Seberang Prai mulai esok

Perintah ini babitkan 870 unit rumah dengan 4,481 penduduk

KUALA LUMPUR, Rabiulawal 1442H, Rabu – Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Seberang Prai dan Kuarters Perumahan Penjara Seberang Prai di Pulau Pinang, berkuat kuasa esok hingga 4 November ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD itu dilaksanakan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengawal penularan COVID-19 di penjara dan kuarters berkenaan.

“PKPD ini membolehkan pergerakan keluar masuk di kawasan tersebut dapat dikawal dan memudahkan pelaksanaan ujian saringan COVID-19 terhadap individu-individu bersasar di penjara terbabit,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang disiarkan di Facebook Kementerian Pertahanan hari ini.

Menurut Ismail Sabri, tahanan yang akan dibebaskan dalam tempoh PKPD akan diasing dan dikuarantin di Institut Latihan Kecemerlangan Mara, Seberang Perai Selatan hingga tamat tempoh kuarantin.

Katanya, jumlah keseluruhan individu yang terlibat dalam PKPD itu ialah 3,262 orang, merangkumi 2,110 banduan, staf penjara yang mendiami kuarters (1,000), staf penjara yang tidak mendiami kuarters (120) dan kakitangan awam (32).

Ismail Sabri berkata, PKPD akan turut dikuatkuasakan di PPR Taman Harmoni, Sandakan, Sabah bermula 23 Okt hingga 5 November ini, susulan peningkatan kes COVID-19 di situ.

“PKPD ini akan melibatkan 870 unit rumah dengan 4,481 penduduk,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 434 individu ditahan kerana ingkar PKPP semalam, dengan 400 dikompaun, 24 direman dan 10 diberi jamin.

Ismail Sabri berkata, tidak memakai pelitup muka adalah kesalahan tertinggi dicatatkan melibatkan 188 individu, diikuti penjarakan fizikal (77), gagal menyediakan peralatan atau merekodkan butiran diri (83) dan lain-lain kesalahan (86).

Mengenai Op Benteng, beliau berkata seramai 37 pendatang tanpa izin ditahan dan 10 kenderaan dirampas semalam.

Sebanyak 304 sekatan jalan raya Op Benteng turut dilakukan di seluruh negara, katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button