Berita Utama

PRU15 ketika musim COVID-19 ibarat bunuh rakyat sendiri

Mereka sedang berdrama, berpolitik ketika rakyat perlukan perhatian

BANGI, 4 Rabiulawal 1442H, Rabu – Dalam keadaan negara berdepan wabak COVID-19, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sememangnya tidak sesuai diadakan dalam tempoh terdekat.

Sekiranya terdapat ahli politik yang mahu PRU15 diadakan, ia barat ‘mencurah racun dalam minuman rakyat’, kata Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim.

“Jadi saya tidak bersetuju (adakan PRU15) sama ada untuk mengekalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mahupun menukar kerajaan baharu.

“Ibarat bunuh rakyat sendiri. Memang kedengaran agak keras namun ini realitinya,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Mengulas lanjut, beliau berkata, elit politik yang mahu mengekalkan survival politik masing-masing adalah pencetus pergolakan politik yang berlaku ketika ini.

“Bermula dengan Langkah Sheraton sehinggalah apa yang berlaku sekarang, semuanya dicetuskan elit-elit politik kerana ketidakpuasan mereka terhadap ganjaran yang mereka bakal peroleh secara individu mahupun parti.

“Kerajaan mahupun pembangkang banyak menghabiskan masa dan fokus mereka untuk mengatur pelbagai strategi untuk meneruskan survival politik mereka serta kepentingan peribadi, bukan untuk kepentingan rakyat dan negara.

“Rakyat bukan lagi keutamaan tertinggi mereka. Mereka sedang berdrama, berpolitik ketika rakyat memerlukan perhatian untuk berhadapan dengan krisis kesihatan awam dan ekonomi semakin merudum,” katanya.

Bagi berhadapan dengan isu COVID-19, kemerosotan ekonomi serta pelabur asing, rakyat kini memerlukan sebuah kerajaan yang kuat dan kukuh, katanya.

Beliau mendakwa, rakyat turut berada dalam dilema susulan situasi politik negara tidak menentu, malah mereka turut menderita akibat dibuang kerja dan kehilangan sumber pendapatan.

“Untuk mendepani situasi ini, sebuah negara yang kukuh dan kuat perlu segera dibentuk sama ada kerajaan sedia ada (Kerajaan PN) atau kerajaan baharu.

“Kerajaan ini yang sememangnya berfungsi dan menumpukan sepenuhnya fokus kepada isu rakyat serta negara tanpa dipesongkan dengan isu-isu lain yang bersifat kepentingan peribadi serta kepartian,” katanya.

Bagaimanapun katanya, segala keputusan terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi meleraikan kemelut politik negara.

Katanya, sebagai rakyat kita percaya dan berharap hikmah dan kebijaksanaan Seri Paduka dapat menyelesaikan konflik serta polemik politik yang tidak berkesudahan.

“Mungkin Seri Paduka mempunyai beberapa pilihan dan antaranya dengan menubuhkan Kerajaan Perpaduan dengan syarat ahli politik yang menganggotainya mestilah mereka yang betul-betul fokus kepada kepentingan rakyat dan negara.

“Atau mungkin Seri Paduka boleh cadangkan Kerajaan Interim buat sementara waktu. Apapun pilihan Seri Paduka, saya jangkakan itu pilihan terbaik kerana situasi sekarang tidak mengizinkan untuk mengadakan PRU,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button