Pendapat

Sultan Selangor tegur ahli politik

Renung kembali ikrar sebelum pilihan raya untuk bantu rakyat

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan kebimbangan berhubung kemelut politik negara yang dilihat tiada berkesudahan sehingga menimbulkan keresahan rakyat.

2. Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Sharafuddin turut berpandangan bahawa rakyat telah mula bosan dan meluat dengan segala tindak-tanduk ahli politik yang sentiasa bercakaran serta bertelingkah dalam merebut kuasa pemerintahan negara.

3. Mohamad Munir berkata, baginda berdukacita kerana kebanyakan ahli-ahli politik seolah-olah tidak mempedulikan langsung masalah dan kesusahan rakyat yang terkesan akibat wabak coronavirus (COVID-19) serta ditambah pula dengan kedudukan ekonomi mereka yang amat terjejas.

4. Teguran yang diberikan oleh Sultan Selangor itu mempunyai asasnya. Rasulullah menegur muslim yang terlalu ghairah untuk mendapatkan kuasa. Lebih malang lagi, andainya dia dilantik menjadi wakil rakyat namun dibenci oleh rakyat sendiri.

5. Benarlah Sabda Rasulullah:

وَشِرَارُ أَئِمَّتِكُمُ الَّذِينَ تُبْغِضُونَهُمْ وَيُبْغِضُونَكُمْ، وَتَلْعَنُونَهُمْ وَيَلْعَنُونَكُمْ

Dan seburuk-buruk pemimpin adalah mereka yang kamu marah kepadanya dan dia turut marah kepada kamu. Kamu melaknatnya dan dia melaknat kamu.” (Sahih Muslim, no: 1855)

6. Hadis Rasulullah serta titah Sultan ini seharusnya menjadi titik muhasabah buat seluruh ahli politik agar merenung kembali ikrar yang mereka laungkan sebelum pilihan raya untuk membantu rakyat yang kesusahan.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr Ahmad Sanusi Azmi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button