Berita Utama

Tiada transformasi, UMNO tetap dengan perangai lama

Selagi pucuk pimpinan sama, takkan ada perubahan dalam parti

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 4 Rabiulawal 1442H, Rabu – Meskipun rakyat telah menolak UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) – parti itu dilihat tidak mengambil pengajaran kerana sehingga hari ini seolah-olah tiada transformasi yang cuba ditonjolkan. 

UMNO yang sudah 74 tahun bertapak, kelihatan tidak konsisten dengan perubahan, malah seperti kembali ke ‘perangai’ lama yang pernah menjadi punca kejatuhan parti itu.

Pada PRU14, UMNO – tunjang kepada Barisan Nasional (BN) hilang 34 kerusi apabila hanya menang 54 kerusi, berbanding 88 kerusi pada PRU13.

Pemerhati Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Isa Hamzah berkata, sepatutnya, kekalahan pada PRU14 menjadi iktibar kepada pucuk pimpinan memperbaiki parti, namun berlaku sebaliknya pula hari ini.

“Cara lama UMNO ini adalah lebih kepada kuasa. Bahkan, kerjasama dengan MCA walaupun pernah ditolak pada PRU14  dan ugut lagi keluar BN, tetapi (UMNO) masih memandang MCA penting untuk survival politik mereka.

“Apabila sekarang sudah mula mendapat kuasa, parti ini kembali semula dengan perangai lamanya dulu,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, Biro Politik UMNO ‘mengugut’ untuk menarik diri daripada Perikatan Nasional (PN) dan akan memberi syarat baharu kepada gabungan itu bagi meneruskan kerjasama politik secara bertulis.

Tindakan parti itu mencetuskan kemarahan dan kritikan kebanyakan rakyat apabila UMNO masih sibuk berebut kuasa tatkala rakyat menghadapi krisis COVID-19.

Beberapa kepimpinan UMNO kebelakangan ini juga dilihat lantang mengkritik dan menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap kerjasama di dalam PN, yang dianggap didominasi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Baru-baru ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, bahawa parti itu mempunyai pelbagai pilihan dalam menentukan jatuh bangun kerajaan PN, termasuk mempercepatkan berlaku pilihan raya umum.

Menurut Khaled, semua pilihan itu ada di tangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana beliau memahami apa yang UMNO kehendaki dan tahu apa yang parti berkenaan mampu lakukan.

Mengulas lanjut, Dr Isa berkata, selagi UMNO masih mengekalkan pucuk pimpinan yang sama, cara dan pendekatan lama, hasilnya tetap sama.

“Pucuk pimpinan ini yang membawa balik cara lama. Jadi, apabila ia masih dipegang oleh pemimpin yang sama, memang tidak akan nampak perubahan dalam parti.

“Asasnya, UMNO dah terduduk selepas PRU14 lalu, kemudian ramai pemimpinnya lari, MCA juga tidak mahu lagi bekerjasama waktu itu.

“Tetapi, momentum parti itu kembali selepas menang di beberapa PRK sebelum ini, dan mereka yakin kembali diterima,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button