Berita Utama

Lantikan penasihat SG4 langkah jadikan Tun M ketua de facto PN

Salleh Keruak yakin Muhyiddin tiada pilihan selain turuti pimpinan PAS

KUALA LUMPUR, 29 Safar 1445H, Jumaat – Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak percaya pelantikan Tun Dr Mahathir sebagai penasihat ‘State-Government 4′ atau SG4 adalah langkah menjadikan bekas Perdana Menteri itu sebagai ketua de facto Perikatan Nasional (PN).

Dalam catatan Facebook, Salleh mendakwa, inilah sebabnya Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dijemput ke pertemuan dengan pemimpin PAS yang telah dihadiri Dr Mahathir awal bulan ini.

“Saya mesti mengatakan bahawa ia adalah satu langkah cemerlang Tun Mahathir jika niat sebenar beliau adalah untuk berada di barisan hadapan politik sekali lagi walaupun mengalami kekalahan di Langkawi semasa PRU15,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Salleh juga percaya Muhyiddin tidak mempunyai pilihan selain mengikut apa sahaja keputusan yang dibuat oleh gabungan pimpinan PAS mengenai pelantikan Dr Mahathir.

“Jelas sekali empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu semuanya adalah negeri yang dikuasai PAS,” katanya.

Pada 11 September lalu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan bahawa keempat-empat negeri pimpinan PN akan menubuhkan kerjasama antara negeri, menggelarkan diri mereka ‘State-Government 4’ atau ‘SG4’.

Beliau berkata, pemimpin kerajaan negeri dari Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis pada dasarnya bersetuju untuk membentuk kerjasama itu. 

Beliau juga telah mengarahkan Exco Terengganu mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatan mereka di tiga negeri lain.

Dr Mahathir, sementara itu, akan menjadi penasihat tidak rasminya, memberi tumpuan kepada tadbir urus yang berkesan dan cekap.

Naib Presiden PAS itu berkata, peranan Dr Mahathir juga adalah untuk menghubungkan empat negeri itu dengan pelabur dari negara seperti Jepun dan Korea Selatan yang mempunyai hubungan baik dengannya.

Dr Mahathir telah bertemu dengan pemimpin PAS pada 2 September. Pertemuan itu termasuk Menteri Besar empat negeri itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button