UMNO lakukan gencatan politik, sokong PN
Pastikan agenda COVID-19, bantu rakyat dapat ditangani

BANGI, 4 Rabiulawal 1442H, Rabu – UMNO memutuskan untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi memfokuskan agenda membantu rakyat dan negara berdepan pandemik COVID-19 serta kegawatan ekonomi.
Justeru, Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu akan melakukan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani COVID-19 dan membantu rakyat yang dihimpit kesusahan akibat hambatan ekonomi dapat ditangani dan diutamakan.
Katanya, antara pendirian lain yang turut ditekankan UMNO termasuk mengarahkan kepimpinan parti yang berada dalam Kabinet memberikan sepenuh tumpuan kepada usaha membantu rakyat.
“Tumpuan juga adalah untuk meringankan beban ditanggung rakyat akibat dampak ekonomi dan pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, Zahid menegaskan bahawa kerjasama semua parti dalam kerajaan PN harus diperkasakan.
“Ini penting bagi menjamin kestabilan politik di saat negara menghadapi ancaman COVID-19 dan ketidakstabilan ekonomi negara,” katanya.
Sebelum ini, UMNO membuat pertimbangan untuk menarik diri dari menyokong PN dan akan memberikan syarat baru kepada kerajaan PN bagi meneruskan kerjasama politik, secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.