Berita Utama

PM Thailand sedia tamatkan darurat di Bangkok

Akan melakukan dengan pantas sekira tiada lagi insiden ganas

BANGKOK, 5 Rabiulawal 1442H, Khamis – Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha berkata beliau bersedia menarik balik perintah darurat yang dikenakan keatas bandar raya Bangkok pada hari Khamis lepas, sebagai usaha bagi menamatkan tunjuk perasaan di bandar raya itu.

Prayuth yang juga Menteri Pertahanan Thailand berkata beliau bersedia membuka langkah pertama ke arah usaha meredakan keadaan.

“Saya sedang membuat persediaan untuk menamatkan perintah darurat di Bangkok, dan akan melakukannya dengan pantas sekiranya tiada lagi insiden ganas,” katanya dalam satu pengumuman khas yang disiarkan televisyen Thailand.

Khamis lepas Prayuth mengumumkan perintah ‘Situasi Darurat yang Serius di Bangkok’ yang mengharamkan perhimpunan lebih daripada lima orang, berkuat kuasa mulai pukul 4.00 pagi hari berkenaan dalam usaha menamatkan tunjuk perasaan jalanan anjuran kumpulan pelajar.

Selain itu beliau turut menyekat penerbitan berita dan perkhidmatan pesanan dalam talian yang dirasakan beliau boleh menjejaskan keselamatan negara atau menyebarkan maklumat palsu.

Bagaimanapun tindakan itu menyebabkan lebih banyak demonstrasi oleh ribuan penunjuk perasaan muncul setiap hari di kota raya itu.

Sementara itu Prayuth berkata satu-satunya jalan bagi mencapai penyelesaian yang terbaik terhadap masalah yang dihadapi adalah dengan meningkatkan perbincangan bersama secara aman, menghormati kedaulatan undang-undang, dan membenarkan kehendak rakyat disuarakan menerusi parlimen.

“Penunjuk perasaan perlu membuatkan pandangan dan suara mereka didengar. Sekarang adalah masanya bagi mereka menjadikan pandangan mereka diselaras dengan lain-lain segmen masyarakat Thailand, menerusi perwakilan mereka di parlimen,” katanya.

Semalam kabinet Thailand bersetuju untuk mengadakan sesi persidangan khas parlimen pada 26 dan 27 Oktober ini.

Sementara itu ribuan penunjuk perasaan berhimpun di Victory Monument pada pukul 4.00 petang (waktu tempatan) sebelum berarak ke Government House.

Walaupun pihak berkuasa meletakkan pelbagai halangan sepanjang jalan, penunjuk perasaan tetap meneruskan perarakan mereka sehingga ke perkarangan Government House pada kira-kira pukul 8.15 malam, sebelum bersurai kira-kira sejam kemudian, selepas menyerahkan surat peletakan jawatan buat Prayuth yang disampaikan kepada Ketua Bangkok Metropolitan Police Chief, Pol Lt Jen Phukphong Phongpetra.

Penunjuk perasaan berkata satu lagi tunjuk perasaan akan diadakan sekiranya tuntutan mereka tidak dipenuhi dalam tempoh tiga hari. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button