Pendapat

Tuntut ramai wakil di PBT, MCA tak tahu malu!

UMNO hanya garang dengan Bersatu, tapi tunduk di depan MCA

MEDIA melaporkan bahawa MCA menuntut agar lebih ramai wakil MCA untuk jawatan-jawatan pihak berkuasa tempatan (PBT) Johor walaupun kerajaan negeri telah melantik seramai 16 wakil dari MCA.

Menurut Setiausaha MCA Johor, jumlah calon parti yang diserahkan kepada kerajaan negeri sebelum ini tidak dizahirkan dalam proses pelantikan fasa kedua baru-baru ini, di mana hanya 16 dari parti itu dilantik.

Ini bermakna, mereka sebenarnya tidak puas hati kerana kemahuan mereka tidak dipenuhi oleh kerajaan Johor.

Menurut beliau juga lagi, kesemua 16 wakil yang dilantik itu tidak hadir dalam majlis angkat sumpah Ahad lalu atas arahan kepimpinan MCA kononnya untuk memberikan laluan supaya perbincangan lanjut mengenai lantikan tersebut. Saya tidak pasti apakah ini diistilahkan sebagai ‘boikot’?

Katanya, desakan agar pelantikan lebih ramai wakil MCA itu adalah untuk membantu lebih ramai masyarakat Cina di seluruh negeri Johor terutamanya bagi mengharungi pandemik COVID-19 ini.

Ini sangat ironi kerana MCA selalu menggunakan hujah kepelbagaian kaum di mana tidak kisah bangsa apa pun yang menjadi wakil sesebuah komuniti. Mereka gemar ulang hujah sebegini setiap kali mereka mahu menuntut untuk bertanding di kerusi-kerusi majoriti Melayu dalam piihan raya.

Tetapi lain pula ceritanya untuk situasi lantikan jawatan-jawatan PBT Johor ini. Sudahlah MCA tidak ada langsung kerusi di DUN Johor, tidak malu pula meminta-minta banyak jawatan lantikan.

Saranan saya kepada MCA ialah bersyukurlah dengan ihsan kerajaan negeri yang telah melantik 16 orang itu. Bukan seorang dua, tetapi enam belas. Bukan sedikit. Kerajaan negeri pimpinan UMNO ini pula janganlah beralah dengan tuntutan MCA ini kerana rakyat sedang memerhati.

Rakyat sedang memerhati, apakah UMNO yang kelihatan ‘garang’ menuntut-nuntut jawatan di kerajaan Persekutuan pimpinan Bersatu, tetapi pada masa yang sama tunduk dengan MCA yang menuntut-nuntut di kerajaan Johor pimpinan UMNO sendiri.

Saya banyak kali berpesan, jangan manjakan MCA kerana tuntutan mereka tidak pernah habis. Tetapi akhirnya DAP juga yang menang kerusi, mereka juga yang untung.

Haji Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button