Berita UtamaDunia

Lebih 400 kesan jenayah perang Russia ditemukan di Kherson

Moscow nafi tindakan tentera sengaja sasar orang awam

KHERSON, 19 Rabiulakhir 1444H, Isnin – Penyiasat menemukan lebih 400 kesan jenayah perang di Ukraine yang ditinggalkan oleh tentera Russia sebelum pasukan itu berundur dari wilayah berkenaan.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, ratusan mayat orang awam dan tentera juga ditemukan.

Bagaimanapun, Moscow menafikan tindakan tentera yang sengaja menyasarkan orang awam.

Sementara itu, pihak berkuasa Ukraine kini melaksanakan perintah berkurung dan menghadkan perjalanan keluar masuk ke wilayah Kherson.

“Di wilayah Kherson, tentera Russia meninggalkan kekejaman yang sama di wilayah lain dalam negara kami.

“Kami akan mencari keadilan di atas setiap pembunuhan yang dilakukan terhadap orang awam yang tidak bersalah,” kata Zelensky dalam ucapan hariannya.

Sejak pencerobohan Russia-Ukraine, beberapa kawasan kubur besar ditemukan termasuk di Bucha, Izyum dan Mariupol.

Ukraine mendakwa kesemua pembunuhan berkenaan adalah perbuatan Russia menuntut mereka bertanggungjawab di atas kekejaman berkenaan.

Bulan lalu, Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, Russia perlu bertanggunjawab di atas sebahagian besar perlanggaran hak asasi manusia berkenaan.

Kherson adalah wilayah yang berjaya ditawan oleh tentera Russia sejak Februari lalu.

Malah, September lalu, Presiden Russia, Vladimir Putin mendakwa wilayah Kherson dan tiga lagi wilayah telah diisytiharkan menjadi sebahagian Russia.

Bagaimanapun, Jumaat lalu, Kherson berjaya dibebaskan oleh tentera Ukraine sekali gus menyebabkan orang awam mengibarkan bendera sebagai menyambut tentera Ukraine. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button