Berita Utama

COVID-19: 847 kes baharu, 5 kematian hari ini

Angka positif COVID-19 kini 23,804, dengan 8,183 kes aktif

PUTRAJAYA, 5 Rabiulawal 1442H, Khamis – Jumlah kes baharu COVID-19 di negara ini kembali melonjak kepada 847 kes selepas mencatat penurunan semalam selain turut merekodkan lima lagi kematian baharu dan 486 kes pulih.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan dalam tempoh 24 jam lepas itu menjadikan angka terkumpul positif COVID-19 di Malaysia berjumlah 23,804 kes dengan kes aktif sebanyak 8,183 kes.

Menurutnya, daripada 847 kes baharu, terdapat lima kes import yang telah mendapat jangkitan dari luar negara dilaporkan di Selangor yang kesemuanya melibatkan bukan warganegara iaitu empat kes dari India dan satu kes dari Amerika Syarikat.

“Pada hari ini, Sabah masih mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 578 kes (68.2 peratus). Ini adalah hasil usaha gigih yang dijalankan di negeri Sabah, yang lebih banyak petugas kesihatan telah dimobilisasikan daripada Semenanjung dan juga dari dalaman negeri Sabah untuk terus menjalankan saringan di lapangan.

“Bagi negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan pertambahan sebanyak 164 kes (19.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). Daripada 164 kes baharu, 71 kes (43.3 peratus) adalah daripada kluster-kluster sedia ada dan baharu,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata secara keseluruhan sebanyak 13 kes yang direkodkan hari ini adalah daripada Kluster Penjara Reman, Kluster Tembok dan saringan di Penjara Taiping dan Penjara Tapah, yang sememangnya terasing dan tidak menjangkiti masyarakat.

Beliau berkata sebanyak 11 kes pula merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 Sept lepas adalah sebanyak 465 kes.

Memperincikan jumlah kes di negeri lain, beliau berkata Selangor mencatat 132 kes, Negeri Sembilan (38), Wilayah Persekutuan Labuan (29), Kuala Lumpur (23), Perak (14), Pulau Pinang (10), Putrajaya (empat), Kedah, Melaka dan Kelantan masing-masing tiga kes, Pahang (dua) manakala Terengganu, Johor dan Sarawak masing-masing satu kes.

“Sehingga kini, terdapat 90 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), yang 29 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Mengenai kematian baharu, beliau berkata empat kes direkodkan di Sabah melibatkan tiga warganegara dan seorang warga asing manakala satu kes melibatkan warganegara di Kedah. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button