Berita Utama

Gencatan politik manifestasi UMNO tak boleh hidup susah

Rakyat lihat kehidupan ahli politik hanya mahu takhta, projek

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 5 Rabiulawal 1442H, Khamis – Pendirian UMNO untuk melaksanakan gencatan politik bagi mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sedang berusaha membantu rakyat dan negara mendepani pandemik COVID-19 serta kelembapan ekonomi, secara asasnya kelihatan bagus.

Pun begitu, jika dinilai berdasarkan kronologi kenyataan parti itu sejak mulanya Pakatan Harapan (PH) jatuh, dan terbangunnya kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, rakyat dapat melihat pendirian UMNO sering kali berubah-ubah.

Perkara itu, kata pemerhati politik, Budiyanto Unggun menimbulkan kemusykilan dan tanda tanya dalam kalangan rakyat secara keseluruhannya. 

Katanya, ketika awal kejatuhan PH dahulu, UMNO menyatakan memberi dukungan dan sokongan padu kepada Muhyiddin kerana dakwanya, ingin mengeluarkan Malaysia daripada konflik politik yang dicipta PH. 

“Jadi rakyat pun sokong padu pada PAS, UMNO, Bersatu, GPS dan parti-parti lain yang terlibat sehingga terbentuknya Perikatan Nasional. 

“Bagaimanapun, kita lihat UMNO semakin berubah, mula menampakkan perangai seperti sebelum kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), apabila ia kini mula untuk menarik diri daripada Perikatan Nasional. Tiba-tiba dalam keadaan pandemik, ia umum tarik diri pula,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Tindakan ini, kata Budiyanto, seolah-olah menunjukkan bahawa UMNO mahu memberi tekanan politik terhadap Muhyiddin. 

“UMNO kelihatan seolah-olah menginginkan sesuatu tapi dia tak dapat. Contoh pemimpin tertinggi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohamad Hassan tidak diberi jawatan penting dalam gabungan. 

“Kemudian kes pendakwaan ke atas pemimpin tertinggi seperti Datuk Seri Najib Razak, Zahid Hamidi, Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor terus dijalankan. Jadi UMNO bagaikan cuba tarik diri daripada gabungan itu,” katanya.

Bukan itu sahaja, keadaan lebih meruncing apabila Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa beliau mempunyai bilangan majoriti ahli Dewan Rakyat yang menyokongnya, dan Ahmad Zahid pula mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak menghalang Ahli Parlimen dari partinya memberi sokongan kepada Anwar.

“Ini satu lagi tekanan daripada UMNO, untuk memenuhi kehendak UMNO yang mereka mahukan. Rakyat mula mengecam Presiden UMNO dan UMNO secara keseluruhannya. Hatta orang UMNO sendiri tak puas hati dengan kenyataan itu,” katanya.

Budiyanto berkata, kenyataan itu adalah satu petunjuk betapa UMNO sangat terdesak menekan Muhyiddin, untuk menarik balik sokongan mereka terhadap PN. 

“Kita tengok selepas itu mereka keluarkan syarat baru untuk meneruskan kerjasama dengan Perikatan Nasional. Jika syarat tak dipenuhi UMNO mahu tarik diri.

“Kenapa UMNO perlu buat begitu, adakah UMNO mahu Zahid Hamidi dilantik jawatan Timbalan Perdana Menteri? Kemudian pemimpin lain dilantik jawatan penting seperti menteri kewangan, menteri ekonomi, menteri undang-undang. Takkan UMNO ingin ambil cara mudah bebaskan mereka tarik pendakwaan.

“Rakyat pula hanya mampu tengok bahawa kehidupan ahli politik ini hanya sekadar mahukan takhta, mahukan harta mahukan projek, mahukan itu ini. Walaupun dulu laungkan hidup Melayu, hidup Islam, lawan DAP, lawan PH. 

“Hakikatnya mereka tak boleh hidup susah, mereka tak nak hidup susah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jika UMNO masih mahu mengekalkan Zahid Hamidi, Najib dan lain-lain pemimpin lama, UMNO sebenarnya hanya menunggu saat dihapuskan peta politik Malaysia. 

“Mungkin bukan sekarang tetapi PRU-PRU akan datang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button