Dunia

India lanjut larangan internet berkelajuan tinggi di Jammu, Kashmir

Dakwa ada unsur antinasional boleh gugat ketenteraman awam

NEW DELHI, 5 Rabiulawal 1442H, Khamis – Pemerintah di Jammu dan Kashmir yang ditadbir India melanjutkan larangan ke atas internet berkelajuan tinggi di 18 daripada 20 daerah di wilayah itu hingga 12 November. 

Dalam perintah yang dikeluarkan pada Rabu, kerajaan wilayah itu mengatakan larangan berkenaan didakwa perlu demi kepentingan kedaulatan dan integriti India.

Perintah itu mendakwa, agensi keselamatan berpendapat bahawa ada unsur-unsur antinasional yang mungkin menyalahgunakan internet berkelajuan tinggi kerana menjalankan aktiviti menggugat ketenteraman awam.

Internet berkelajuan tinggi tidak dibenarkan di wilayah itu sejak Ogos lalu, ketika India menarik balik status semiautonomi Jammu dan Kashmir. 

Kerajaan India hanya memulihkan perkhidmatan internet mudah alih pada bulan Januari – di Jammu yang dikuasai Hindu dan kemudian di wilayah Kashmir yang majoriti muslim. 

Bagaimanapun, hanya laman web bersenarai putih dibenarkan oleh kerajaan untuk diakses, sementara media sosial disekat sehingga 4 Mac lalu. 

Akses internet berkelajuan tinggi dibenarkan pada 17 Ogos di dua daripada 20 daerah yang dipertikaikan – di Ganderbal di Lembah Kashmir dan Udhampur di Jammu yang majoriti Hindu – setelah jawatankuasa dibentuk atas perintah pengadilan yang menyarankan sekatan internet dilonggarkan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button