Berita Utama

MCA gasak Khairuddin isu kuarantin, mahu pemimpin PAS itu dihukum

MCA dakwa klasifikasi NFA kes Khairuddin bukan bererti ia berakhir

BANGI, 5 Rabiulawal 1442H, Khamis – Nampaknya Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali kini bukan sahaja diserang oleh pembangkang dalam isu kuarantin, tetapi juga parti yang dianggap rakan dalam komponen Perikatan Nasional (PN) iaitu MCA.

Ini terutamanya selepas Peguam Negara memutuskan untuk tidak mengambil tindakan lanjut (NFA) terhadap Mohd Khairuddin berhubung pelanggaran mematuhi perintah kuarantin kendiri wajib koronavirus (COVID-19).

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan arahan berkenaan susulan tiada keterangan kukuh bagi mengasaskan pertuduhan ke atas beliau.

“Ia selepas sudut keterangan didapati menteri berkenaan tidak diserahkan dengan borang 14B di bawah Seksyen 15 (1) Akta 342 bagi tujuan menjalani kuarantin,” katanya.

Tidak berpuas hati dengan kenyataan itu, MCA seperti mahu ‘mengheret’ Mohd Khairuddin agar beliau tidak dilepaskan daripada isu berkenaan hanya kerana alasan ‘kesilapan teknikal’ seperti yang dinyatakan.

Jurucakap MCA, Chan Quin Er mengatakan bahawa mengklasifikasikan kes Mohd Khairuddin sebagai NFA tidak semestinya menandakan berakhirnya perkara itu.

Quin Er turut mempersoalkan anggapan bahawa seseorang hanya menjadi ‘individu yang diawasi’ (PUS) apabila seorang pegawai yang diberi kuasa memerintahkan seseorang itu secara lisan untuk menjalani kuarantin.

Beliau menyorotkan bahawa, sebelum perjalanan Mohd Khairuddin ke luar negeri pada Julai, kerajaan telah menyatakan dengan jelas bahawa semua pelancong yang masuk dari luar negara dianggap PUS dan harus menjalani kuarantin 14 hari.

“Anda tidak menjadi PUS hanya setelah diberi salinan Borang 14B, anda secara automatik merupakan PUS sekiranya anda memasuki atau memasuki semula Malaysia dari luar negara. Sekiranya Khairuddin berada di bawah pengecualian dari kuarantin wajib, pihak berkuasa mesti dapat menunjukkan perkara ini.

“Jika tidak, ini menetapkan duluan (precedent) berbahaya di mana seseorang PUS, yang pihak berkuasa lupa untuk berikan Borang 14B, boleh melanggar kuarantin tanpa perlu dihukum,” katanya.

Quin Er seperti dipetik dalam laporan Malaysiakini turut mempersoalkan mengapa Mohd Khairuddin dikenakan kompaun bernilai RM1,000 atas tuduhan pelanggaran di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), jika pihak berkuasa mendakwa bahawa tidak ada peraturan yang dilanggar.

Terdahulu, penelitian pihak AGC terhadap kertas siasatan yang dihantar oleh pihak polis mendedahkan bahawa Mohd Khairuddin telah berkunjung ke Turki pada 3 Julai 2020 dan kembali ke Malaysia pada 7 Julai 2020.

Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan proses saringan COVID-19 (ujian swab) dan keputusannya didapati negatif.

Kata kenyataan itu lagi, menteri itu dibenarkan pulang ke kediamannya oleh pegawai yang diberi kuasa daripada Kementerian Kesihatan yang dilantik di bawah Seksyen 3 Akta 342.

Lanjutan selepas itu, menteri dari PAS itu menjalani saringan kesihatan kali kedua pada 10 Julai 2020 di Hospital Kuala Lumpur atas tujuan untuk menghadiri satu majlis di Istana Negara pada 17 Ogos 2020. Keputusan ujian saringan kedua juga didapati negatif.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button