Berita Utama

Pencemaran Sungai Selangor: 8 lelaki direman 7 hari

Antara ditahan seorang pengarah syarikat, bapanya berusia 62 tahun

KUALA LUMPUR, 5 Rabiulawal 1442H, Khamis – Lapan lelaki termasuk seorang pengarah syarikat membaiki dan menjual jentera pembinaan ditahan reman tujuh hari mulai hari ini hingga 28 Oktober, berhubung pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

Perintah reman itu dikeluarkan ke atas kesemua suspek berusia antara 28 hingga 66 tahun oleh Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan di Mahkamah Majistret Selayang di sini, hari ini selepas membenarkan permohonan polis untuk menahan reman mereka selama tujuh hari.

Mereka yang ditahan reman itu ialah seorang pengarah syarikat berusia 31 tahun dan bapanya yang berusia 62 tahun, serta enam pekerja terdiri daripada dua warga tempatan serta empat warga asing dari Nepal, Pakistan dan Myanmar.

Kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan melakukan khianat, dengan mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air sehingga menyebabkan susut bekalan air kepada manusia dan haiwan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Prosiding reman kelapan-lapan suspek bermula pukul 9.30 pagi itu selesai 9.50 pagi.

Kesemua mereka yang memakai baju lokap polis berwarna oren dan ungu itu, tiba di Kompleks Mahkamah Selayang pada 9 pagi ini, selepas ditahan 11.30 pagi semalam di Rawang, Selangor.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sebelum ini mengesan bau abnormal pada sumber air mentah di Sungai Selangor pada 12.38 pagi Isnin lepas, menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas apabila kadar bau dikesan pada paras 3 ton.

Media sebelum ini melaporkan henti tugas keempat-empat loji itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1,196,457 akaun, merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button