Berita Utama

Pengisytiharan darurat mampu serlah kuasa milik Agong

Berkuasa bentuk ordinan lulus perbelanjaan negara jika memerlukan

BANGI, 5 Rabiulawal 1442H, Khamis –  Jika Perdana Menteri tidak lagi mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat dan atas permintaannya, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) memperkenankan pembubaran Parlimen, maka Seri Paduka boleh mengisytiharkan darurat untuk menggantung Parlimen kerana wujud ancaman besar kepada negara termasuk penularan wabak COVID-19.

Professor Madya di Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, YDPA boleh mengisytiharkan darurat di bawah Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan jika ancaman besar kepada keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya wujud.

Selain itu, katanya, ia juga boleh diisytihar mengikut Perkara 150(2) jika ancaman besar itu belum berlaku tetapi Seri Paduka berpuas hati akan bahaya ancaman besar itu.

Beliau berkata, sekiranya darurat diisytihar, maka akan wujud Jemaah Menteri Interim di bawah Perkara 43(2) dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam keadaan Parlimen tidak boleh bersidang akibat keadaan darurat, Prof Wan Ahmad Fauzi berkata, YDPA berkuasa untuk membuat ordinan bagi meluluskan perbelanjaan negara jika wujud keperluan segera dan mustahak.

Semasa tempoh darurat juga, katanya lagi, undang-undang boleh digubal tanpa mematuhi peruntukan sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan, yang dinamakan ordinan oleh Parlimen atau YDPA untuk menangani ancaman terhadap keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam dalam negara.

“Sekiranya ini berlaku, kuasa YDPA lebih terserlah kerana Parlimen telah dibubarkan. Baginda perlu membuat ordinan untuk meneruskan pemerintahan negara secara adil dan aman dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Prof Wan Ahmad Fauzi berkata, selaras dengan prinsip syura yang mendasari pemerintahan tradisional Tanah Melayu, YDPA masih perlu berunding atau mendapatkan nasihat Jemaah Menteri Interim.

Bahkan, Seri Paduka boleh berunding dengan Majlis Raja-Raja juga lain-lain badan berwibawa seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum membuat sebarang Ordinan Darurat.

“Dalam sejarah Malaysia, darurat pernah diisytiharkan semasa pembubaran Parlimen, iaitu dua hari selepas tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969. 

“Parlimen hanya mula bersidang pada 20 Februari 1971 walaupun keputusan PRU (Pilihan Raya Umum) telah diketahui pada 10 Mei 1969 di Semenanjung Tanah Melayu, manakala pada 4 Julai 1969 proses PRU selesai di Sabah dan Sarawak.

“Proklamasi Darurat 1969 hanya dibatalkan pada Disember 2011 selepas usul pembatalannya dimulakan di Dewan Rakyat pada 24 November 2011,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata, dalam bulan Jun 2012 semua ordinan yang dimasyhurkan terhenti berkuat kuasa seperti diperuntukkan oleh Perkara 150(7). 

“Ringkasnya dalam tempoh dari 15 Mei 1969 sehingga Disember 2012, Malaysia berada dalam darurat.

“Namun begitu, Parlimen bersidang dan PRU dilaksanakan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button