Berita Utama

Pesakit COVID-19 maut terjun bangunan Hospital Queen Elizabeth

Terjun menerusi tingkap dari tingkat 8 bangunan hospital berkenaan

KOTA KINABALU, 5 Rabiulawal 1442H, Khamis – Seorang wanita berusia 63 tahun yang disahkan positif COVID-19 ditemui mati setelah dipercayai terjun dari tingkat lapan bangunan Hospital Queen Elizabeth (HQE) I, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Habibi Majinji berkata kejadian itu berlaku pada pukul 9.15 malam dan wanita warga tempatan itu dikatakan terjun menerusi tingkap dari tingkat lapan bangunan hospital berkenaan.

“Kita menerima laporan daripada pihak hospital pukul 9.30 malam. Siasatan awal mendapati mangsa dimasukkan ke hospital berkenaan pada 13 Oktober lepas selepas disahkan positif COVID-19 .

“Selepas mendapatkan rawatan lanjut, mangsa disahkan bebas penyakit berkenaan dan dijadualkan untuk dikeluarkan dari hospital berkenaan hari ini,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa kini ditempatkan di Jabatan Forensik HQE I, sementara menunggu siasatan lanjut.

“Siasatan termasuk mengenal pasti punca mangsa terjun dan mencari saksi di tempat kejadian,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button