Berita Utama

PKPB: Bayar gaji pekerja bekerja dari rumah seperti biasa

Majikan tak boleh paksa pekerja guna cuti tahunan, cuti tanpa gaji

BANGI, 5 Rabiulawal 1442H, Khamis – Majikan diingatkan supaya membayar gaji pekerja seperti biasa walaupun diarahkan untuk bekerja dari rumah berikutan terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, majikan juga tidak boleh memaksa atau mengarahkan pekerja menggunakan cuti tahunan mahupun cuti tanpa gaji.

Katanya, perkara itu selaras dengan perintah dan kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Manusia ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

“Namun begitu, majikan boleh berbincang dengan pekerja dalam apa jua tindakan serta keputusan yang diambil demi kepentingan bersama.

“Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) melalui talian 03-8886 2352/ 02-8888 9111,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam sidang media Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa lalu berkata, pekerja di kawasan diisytiharkan terlibat dalam PKPB diarahkan untuk bekerja dari rumah dengan syarat tertentu.

Bagaimanapun, arahan yang dikuatkuasakan mulai hari ini, dikecualikan kepada perkhidmatan awam kritikal dan sektor tidak rasmi termasuk peruncitan.

Ismail Sabri berkata, arahan bekerja dari rumah kepada pekerja swasta dan penjawat awam bahagian pengurusan serta penyeliaan dikuatkuasakan sehingga tamat tempoh PKPB yang kini dilaksanakan di Kuala Lumpur, Labuan, Putrajaya, Selangor dan Sabah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button