Dunia

Rejim Zionis serbu, tangkap 14 rakyat Palestin termasuk kanak-kanak

3,000 rakyat Palestin ditahan Israel sejak awal tahun hingga Ogos lalu

RAMALLAH, 5 Rabiulawal 1442H, Khamis – Rejim pengganas Israel menangkap 14 rakyat Palestin, termasuk sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak dalam serbuan yang dilakukan malam tadi di wilayah Tebing Barat dijajah, lapor Kelab Tahanan Palestin (PPS).

Menurut PPS, sekurang-kurangnya empat penduduk Palestin ditahan ketika tentera Israel menyerbu dan menggeledah rumah mereka di Timur Baitulmaqdis yang diduduki. 

Turut ditahan adalah seorang remaja berusia 15 tahun dari kawasan Isawiyeh. 

Di Bethelehem, pasukan Israel menyerbu masuk ke kem pelarian Dheisha di selatan bandar itu, dan menangkap empat yang lain termasuk seorang lelaki berusia 42 tahun. 

Serangan yang sama turut dilakukan di kem pelarian Qalandia di utara Baitulmaqdis, Hebron dan juga Nablus.

Agensi berita Wafa berkata, serbuan rejim itu mencetuskan pertempuran dengan penduduk tempatan, di mana tentera Israel melepaskan tembakan ke atas penunjuk perasaan. 

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan. 

Tentera Israel sering melakukan penangkapan di seluruh Tebing Barat, termasuk di Baitulmaqdis dengan alasan kononnya mengesan individu yang dikehendaki. 

Bagaimanapun, kebanyakan siri penangkapan rejim pengganas itu menyasarkan golongan kanak-kanak yang tinggal di Baitulmaqdis, kata PPS. 

PPS merekodkan penangkapan lebih daripada 3,000 orang Palestin sejak awal tahun ini sehingga akhir Ogos lalu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button