Berita Utama

Thailand tarik balik perintah darurat di Bangkok

Pengumuman kerajaan itu diterbitkan dalam bentuk Warta Diraja

BANGKOK, 5 Rabiulawal 1442H, Khamis – Thailand hari ini menarik balik perintah darurat di Bangkok selepas lebih seminggu tunjuk perasaan antikerajaan berlaku setiap hari di kota raya itu dan bandar-bandar lain.

Pengumuman itu yang diterbitkan dalam Warta Diraja, menyatakan perintah darurat yang melarang perhimpunan awam membabitkan lima orang atau lebih, penerbitan berita dan perkhidmatan pesanan dalam talian yang boleh mempengaruhi keselamatan negara, ditarik balik.

Berikutan itu, perintah ‘Situasi Darurat yang Serius di Bangkok’ ditamatkan.

Pada 15 Oktober, Prayuth mengisytiharkan perintah darurat dalam usaha menamatkan tunjuk perasaan jalanan yang sudah berlarutan selama tiga bulan, diketuai kumpulan pelajar.

Penunjuk perasaan mengulangi tuntutan yang mahukan pembaharuan politik, termasuk perdana menteri meletakkan jawatan, pembubaran Parlimen, pindaan Perlembagaan dan reformasi monarki.

Kabinet pada Selasa meluluskan untuk mengadakan sesi parlimen khas bagi membincangkan isu tunjuk perasaan antikerajaan yang sedang berlangsung itu.

Semalam, Prayuth mengatakan “bersedia” menarik balik perintah darurat di Bangkok dan melakukannya dengan “segera jika tiada lagi insiden ganas”. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button