Wanita berusia 34 tahun maut akibat rabies
Mangsa digigit anjing peliharaan tapi tidak dapatkan rawatan
BANGI, 5 Rabiulawal 1442H, Khamis – Seorang wanita berusia 34 tahun meninggal dunia pada 18 Oktober lalu akibat dijangkiti wabak rabies, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, dengan pengesahan terbaharu itu menjadikan kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak meningkat kepada empat orang setakat tahun ini.
Katanya, kumulatif kes rabies di Sarawak sejak diisytiharkan pada 31 Julai 2017 hingga 21 Oktober 2020 adalah sebanyak 26 kes.
“Mangsa terbaharu adalah seorang wanita berumur 34 tahun. Beliau dimasukkan ke Hospital Sibu pada 12 Oktober 2020 kerana mengalami lemah pada kedua-dua belah kaki sejak lima hari sebelum dimasukkan ke wad.
“Kes ini telah meninggal dunia pada 18 Oktober 2020 jam 11.30 pagi dengan diagnosa rabies encephalitis.
“Beliau telah disahkan dijangkiti virus rabies melalui ujian makmal yang dijalankan oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 19 Oktober 2020. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, siasatan mendapati kawasan kediaman mangsa berdekatan dengan tapak pelupusan sampah, di mana terdapat banyak anjing liar yang berkeliaran.
“Beliau pernah digigit oleh anjing peliharaannya pada penghujung tahun 2018 namun tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan.
“Anjing peliharaan tersebut bebas bercampur dengan haiwan lain dan tidak pernah diberi suntikan vaksin antirabies,” katanya.
Katanya, haiwan berkenaan telah dibunuh oleh orang awam susulan satu lagi kejadian di mana ianya menggigit seorang lagi individu.
“Bagaimanapun, tiada sampel dihantar kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak bagi ujian pengesahan jangkitan rabies pada anjing tersebut.
“Bagi kes ini, Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu telah memaklumkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk membuat penangkapan anjing di kawasan kediaman mendiang,” katanya.