Berita Utama

3 maut, 52 cedera dalam letupan saluran paip gas asli di Thailand

Mangsa alami kecederaan melecur, dikejarkan ke hospital berdekatan

BANGKOK, 6 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Tiga orang terbunuh manakala 52 orang cedera selepas sebuah saluran paip gas asli meletup di Samut Prakan, tenggara Bangkok.

Dalam keajadian jam 12.55 tengah hari (waktu tempatan), saluran paip asli itu yang dikendalikan oleh syarikat milik PTT Public Company Limited (PTT) mengalami kebocoran dan terbakar.

Menurut laporan Bangkok Post, susulan letupan itu, sekurang-kurangnya empat buah rumah rosak teruk dan enam buah rumah mengalami kerosakan bumbung.

Gabenor Wilayah Samut Prakan, Wanchai Kongkasem, berkata sekurangnya 30 buah keluarga terjejas akibat insiden itu dan pihak berkuasa sedang mengenal pasti punca kejadian letupan itu.

“Mangsa mengalami kecederaan melecur dan dikejarkan ke hospital berdekatan dan pusat pemindahan telah dibuka untuk membantu mangsa,” katanya kepada media selepas melawat lokasi kejadian.

Beliau berkata PTT telah menutup saluran paip itu dan kawasan itu kini selamat.

Sementara itu, jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri berkata Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha telah mengarahkan pihak berkuasa segera melakukan pemeriksaan dan menyiasat punca kejadian serta menghulurkan bantuan kepada mangsa. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button