Berita Utama

Hampir 90 peratus dari 31,000 hektar tanah wakaf tak dibangunkan

Pusaka disyariat supaya keturunan tak ditinggalkan papa kedana

BANGI, 6 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Sikap malas mengusahakan tanah pusaka keluarga hanya akan menyebabkan ekonomi umat Islam hilang di bumi sendiri.

Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman berkata, masih ada umat Islam yang tiada kesedaran menyelamatkan satu-satunya kekayaan sedia ada iaitu tanah.

“Ramai yang mengambil sikap malas untuk mengusahakan tanah warisan orang tua. Melakukan urusan pindah milik pun malas.

“Tanah berekar-ekar tanaman kelapa sawit dan getah terbiar, ibu bapa sudah tua, manakala anak-anak tak ada yang mahu mengusahakannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ustaz Mohd Hazizi berkata, sekiranya ia diwakafkan, pewakaf hanya mahukan pahala akhirat dan pemegang amanah untuk menguruskannya pula tidak aktif dalam memastikan tanah itu boleh memberi manfaat kepada umat Islam.

Disebabkan itu, beliau berkata, hampir 90 peratus daripada tanah wakaf seluas 31,000 hektar tidak dibangunkan.

“Ini semua berlaku dalam keadaan umat Islam tiada kuasa ekonomi. Setiap hukum, ada hikmahnya. Pusaka disyariatkan agar keturunan tak ditinggalkan papa kedana.

“Bagaimana jika tanah pusaka sekangkang kera atau rumah sebuah mahu diagihkan pusakakan? Banyak kes, akhirnya dijual,” katanya.

Justeru, beliau menyarankan supaya sebaiknya aset kecil itu dijadikan wakaf keluarga yang boleh memberi manfaat kepada keturunan.

“… tetapi aset itu tidak boleh dijual, dihibah, dipusaka dan diwasiat. Bersyuralah keturunan tentang kaedah terbaik untuk dimanfaatkan bersama aset itu.

“Buatkan peraturan yang perlu bagi mengatur kaedah membuat keputusan. Didikan mengurus harta amat perlu diterapkan kepada anak-anak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button