Berita Utama

Jawi harta tersembunyi dalam warisan Islam

Manuskrip Jawi, Warisan Asia Tenggara yang perlu dikongsi

KUALA LUMPUR, 6 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Seni tersebar di luar ruang lingkup sempadan politik dan wilayah geografi dengan penuh kehalusan selain menjadi medium ekspresi dan komunikasi paling berkesan sepanjang sejarah kehidupan, kata ahli sejarah kesenian dan Indologi yang berpusat di Malaysia.

Profesor Dr Amir H. Zekrgoo yang telah menghasilkan karya seni selama lebih 40 tahun, percaya “karyawan seni adalah duta budaya kita yang sebenarnya dan memudahkan interaksi antara negara mereka dan membantu mempromosi keamanan serta persaudaraan.”

“Seni memberi kesahihan kepada sebuah peradaban … tidak kira seberapa maju teknologi, dan ia tidak boleh digelar ‘peradaban’ jika tidak menghasilkan dan meninggalkan nilai seni yang tinggi.

“Tidak dinafikan peradaban tertinggi turut melalui zaman kegelapan … bahkan kesenian pernah mencatat fasa paling gelap dalam sejarah manusia,” katanya kepada Bernama dalam wawancara eksklusif di kediamannya di sini, baru-baru ini.

Pelukis dan jurugambar berusia 63 tahun itu berkata sejak menetap 40 tahun di negara barat, timur dan Islam, beliau berasa bertuah kerana mempunyai pengalaman menyaksikan kepelbagaian dan kekayaan hasil seni mereka.

Zekrgoo, Felow Profesor Manuskrip Timur Tengah di Universiti Melbourne dan bekas Profesor Seni Islam dan Oriental di Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Alam Melayu (ISTAC), UIAM, sudah menghasilkan banyak Manuskrip Islam dan menekankan pentingnya manuskrip Jawi sebagai Warisan Asia Tenggara yang perlu dikongsi.

“Huruf dan manuskrip sejarah yang ditulis dalam Jawi dihiasi dengan unsur-unsur yang mencerminkan nilai estetika, adalah harta tersembunyi dalam warisan Islam.

“Terputusnya generasi baharu daripada warisan sejarah mereka yang kaya kerana ketidakmampuan membacanya sesuatu yang dikesalkan,” katanya, sambil menambah sering memasukkan mengenai tulisan Jawi dalam ceramahnya mengenai Sejarah Seni Islam ketika di ISTAC.

Ditanya bagaimana Malaysia memberi kesan dalam karya seninya, Zekrgoo – yang telah menetap di Kuala Lumpur bersama keluarganya selama lebih 20 tahun – berkata negara ini mempengaruhi karyanya melalui pemikiran dan estetika sehingga beliau menghasilkan sebahagian besar kaligrafinya di Malaysia.

Zekrgoo, pakar dalam kajian perbandingan seni keagamaan sedang menterjemahkan Ramayana, satu epik Sanskrit India kuno, ke dalam bahasa Parsi.

Beliau yang pernah tinggal di India selama hampir 10 tahun dan fasih berbahasa Hindi, sudah menghasilkan 16 buku dan lebih 100 artikel dalam bahasa Parsi, Inggeris dan Urdu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button