Berita Utama

PKPD Penjara Pokok Sena dilanjut hingga 7 November

Penjara Tawau tamat PKPD Ahad ini

KUALA LUMPUR, 6 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Pokok Sena, Kedah dilanjutkan selama 14 hari lagi hingga 7 November ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, pelanjutan atas cadangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) itu bagi memastikan rantaian COVID-19 diputuskan sepenuhnya di dalam Penjara Pokok Sena terutama dalam kalangan kakitangan.

“Saringan oleh KKM hingga semalam mendapati masih terdapat kes positif dalam kalangan banduan dan kakitangan penjara tersebut,” katanya dalam kenyataan berkenaan perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD di Penjara Pokok Sena bermula 11 hingga 24 Oktober.

Sementara itu katanya, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan Tawau, Sabah pada 25 Oktober ini seperti yang dijadualkan.

“Setakat 21 Oktober lalu, KKM telah membuat 1,250 saringan di Penjara Tawau, manakala 1,196 saringan kakitangan di kuarters Taman Ehsan. Hingga kini tiada lagi kes aktif direkodkan di Penjara Tawau manakala hanya dua kes di Kuarters Penjara Taman Ehsan dan sedang menerima rawatan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, lokaliti itu masih tertakluk di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi seluruh Sabah.

Berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), beliau berkata 639 individu ditahan atas kesalahan ingkar PKP, iaitu 634 individu dikompaun, manakala empat direman dan seorang dijamin semalam.

Ismail Sabri berkata menerusi Operasi Benteng semalam, 38 pendatang tanpa izin ditangkap dan dua buah bot serta tiga kenderaan darat dirampas.

Menurutnya, seramai 52,841 individu telah pulang ke negara ini melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai hingga semalam dan mereka ditempatkan di 66 hotel serta 17 premis lain termasuk institut latihan awam (ILA) serta institusi pengajian swasta.

“Daripada jumlah itu, seramai 8,196 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 381 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 44,264 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya.

Berhubung operasi sanitasi awam, sebanyak 29 operasi dijalankan semalam meliputi enam zon merah, 12 zon kuning dan lapan zon hijau, melibatkan 11 negeri iaitu Kedah (5), Melaka (5), Sabah (4), Sarawak (3), Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Terengganu (masing-masing dua) dan satu masing-masing di Pahang, Perlis, Perak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button