Berita Utama

Tak bincang isu bubar Parlimen

Mesyuarat hanya berkisar Belanjawan 2021, usaha perangi COVID-19

BANGI, 6 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Mesyuarat Khas Kabinet pagi tadi tidak membincangkan isu pembubaran Parlimen, Pilihan Raya Umum (PRU) atau rombakan menteri sedia ada.

Mesyuarat berkenaan hanya berkisar mengenai perbincangan isu Belanjawan 2021 yang dijadual pada 4 petang, 6 November serta usaha bersepadu memerangi gelombang ketiga COVID-19, lapor Astro Awani memetik sumber dari ahli Kabinet.

“Isu bajet, kena tunggu Kementerian Kewangan atau Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri buat pengumuman,” katanya.

Pembentangan Belanjawan 2021 antara yang akan mencuri tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat yang kembali bermesyuarat selama 27 hari, mulai 2 November depan.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman web rasmi Parlimen, pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 itu dijadual dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Persidangan antara lain akan membahaskan Belanjawan di peringkat dasar, jawatankuasa dan jawapan menteri.

“Perbahasan RUU dan urusan kerajaan dalam topik berlainan akan berlangsung secara serentak di kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara, pada 14 Disember,” kata laman web itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button