Berita Utama

6 lagi kluster COVID-19 dikesan

2 daripada kluster baharu itu dikesan di Sabah

PUTRAJAYA, 7 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Enam lagi kluster baharu COVID-19 dilaporkan di beberapa negeri hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata dua daripada kluster baharu itu dikesan di Sabah iaitu Kluster Megah dan Kluster Mesra yang masing-masing melibatkan kes indeks daripada hasil saringan individu bergejala.

Bagi Kluster Megah di Sandakan, melibatkan kes indeks (kes ke-13,706) yang dikesan pada 5 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent.

“Saringan kontak rapat kluster ini, telah mengenal pasti 14 lagi kes positif dan sehingga hari ini, 64 individu disaring dengan 15 kes positif, 12 negatif dan 37 individu masih menunggu keputusan.

Bagi Kluster Mesra juga di Sandakan, melibatkan kes indeks (kes ke-13,755) yang dikenal pasti positif COVID-19 pada 7 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent. Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 21 lagi kes positif dan dua individu masih menunggu keputusan,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 25,742 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 8,966 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini COVID-19 hari ini.

Selain Sabah, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 95 kes dicatatkan di Lembah Klang dengan 29 kes daripada kluster-kluster sedia ada dan baharu.

Sebanyak 502 kes lagi melibatkan tahanan daripada Kluster Penjara Kepayan, Kluster Penjara Seberang Perai, Penjara Reman dan Kluster Tembok yang kes-kes ini sememangnya terasing di dalam penjara, katanya.

Dua kes yang dicatatkan hari ini juga menurut beliau, merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah yang menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke negeri itu sejak 20 Sept lepas sebanyak 468 kes.

Dari keseluruhan kes, Dr Noor Hisham berkata 11 daripadanya adalah kes import yang direkodkan di Kuala Lumpur, melibatkan tiga warganegara dan lapan bukan warganegara dengan tiga kes direkodkan daripada mereka yang tiba dari Singapura, Indonesia (3), China (2), Korea Selatan (2) dan Tunisia (1).

Selebihnya, menurut Dr Noor Hisham adalah kes penularan COVID-19 dalam negara dengan Sabah sebanyak 889 kes, Negeri Sembilan (96), Selangor (76), Kedah (76), Pulau Pinang (23), Wilayah Persekutuan Labuan (21), Perak (10), Sarawak (8), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (8), Johor (7) dan Melaka (3).

Mengenai kes pulih pula, terdapat sebanyak 671 kes hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 sebanyak 16,555 kes iaitu 64.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

”Sehingga kini, terdapat 92 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 31 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan tujuh kes kematian berkaitan COVID-19, justeru jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia sebanyak 221 kes,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button