Berita Utama

9 lagi jemaah tabligh Malaysia di India tiba di tanah air

Wisma Putra dalam usaha bawa pulang 19 lagi jemaah tabligh di New Delhi

BANGI, 7 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Seramai sembilan lagi ahli jemaah tabligh rakyat Malaysia di India telah selamat tiba di tanah air semalam, menurut Kementerian Luar Negeri.

Sehingga kini, kementerian itu telah membawa pulang seramai 170 daripada 189 ahli jemaah tabligh warganegara Malaysia yang berada India, termasuk 161 orang menerusi siri Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) sejak Julai lalu.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, semua jemaah tabligh yang pulang diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari di Stesyen Kuarantin, sejajar dengan peraturan yang ditetapkan kerajaan Malaysia.

“Sehingga hari ini, masih terdapat 19 jemaah tabligh rakyat Malaysia yang masih berada di India.

“Daripada jumlah ini, 10 jemaah tabligh yang berada di New Delhi telah selesai menjalani proses perundangan dan dibebaskan daripada pertuduhan mahkamah, manakala baki sembilan yang lain masih menjalani prosedur perundangan di Bihar, India,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kamarudin berkata, penyelarasan usaha membawa pulang mereka sedang dilakukan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi.

Sehubungan itu, Kementerian Luar Negeri merakamkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan yang terlibat, terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan atas komitmen menjayakan misi membawa pulang jemaah tabligh Malaysia di India.

“Kerajaan Malaysia turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan India dalam membantu urusan kepulangan mereka.

“Kementerian Luar Negeri akan meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan India dalam usaha memudahcara urusan pulang baki 19 jemaah tabligh rakyat Malaysia yang masih berada di negara itu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button