Berita Utama

Jangan isytihar darurat jika sekadar mahu kekalkan kuasa: ISMA

Dipercayai rakyat setuju dengan darurat berbanding bubar Parlimen

BANGI, 7 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Desas-desus yang menyatakan kerajaan bakal melaksanakan perintah darurat diharap tidak dilakukan atas dasar mahu mengekalkan kuasa.

Jika perkara tersebut berlaku, ianya telah menghalang sistem demokrasi yang subur dengan mekar di negara ini daripada berjalan dengan lancar.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) – gerakan yang memperjuang isu-isu rakyat – Haji Aminuddin Yahaya juga percaya, rakyat negara ini lebih setuju pada darurat jika dibandingkan dengan pembubaran Parlimen.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan darurat berkenaan bukanlah seperti pada tahun 1969 yang melibatkan keselamatan negara tetapi lebih kepada menjaga kesejahteraan ekonomi dan kesihatan rakyat.

Katanya lagi, ini bermakna aktiviti seharian rakyat masih boleh dijalankan seperti biasa cuma mungkin kuasa Eksekutif berlaku sedikit perubahan.

“Apa pun, ini hanya cadangan daripada Kabinet sahaja. Terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong sama ada mahu menerimanya atau tidak, atau ada jalan penyelesaian lain.

“Saya pasti Seri Paduka akan membuat keputusan yang terbaik buat rakyat dan kita sebagai rakyat akan akur menerimanya. Insya-Allah,” katanya dalam kenyataan.

Ketika ini, spekulasi bertiup kencang bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mendapatkan perkenan untuk melaksanakan darurat.

Spekulasi itu dikuatkan lagi apabila kenderaan yang membawa Perdana Menteri dilihat memasuki pagar Istana Abdulaziz pada kira-kira 4.40 petang, diiringi pasukan keselamatan dan sejumlah kenderaan rasmi kerajaan negeri Pahang.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang antara yang turut kelihatan memasuki istana.

Namun sehingga semalam, tiada sebarang pengumuman yang dibuat oleh Muhyiddin berhubung pertemuan itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button