Dunia

Lubnan berhasrat tubuh kerajaan teknokrat

Saad Hariri fokus usaha reformasi negara selaras cadangan Perancis

BEIRUT, 7 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Bekas Perdana Menteri Lubnan yang dilantik semula, Saad Hariri mengumumkan bakal membentuk kerajaan teknokratik yang akan bekerja sesuai dengan cadangan pembaharuan Perancis.

Hariri berkata, beliau mahu menumpukan kepada reformasi yang harus dilaksanakan secepat mungkin, melalui pembentukan kerajaan teknokrat.

Bercakap mengenai ekonomi Lubnan, beliau berkata, semua institusi kini berdepan krisis sehingga kerajaan mencari jalan penyelesaian dalam masa terdekat. 

“Kita memerlukan masa dan kita harus melakukan pembaharuan yang kita persetujui di Istana Pine (bermaksud Kedutaan Perancis di Beirut),” katanya. 

Khamis lalu, Presiden Lubnan, Michel Aoun melantik Hariri untuk membentuk kerajaan baharu negara itu – tidak sampai setahun selepas pemimpin Gerakan Masa Depan berkenaan meletak jawatan. 

Hariri pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri sebanyak dua kali sebelum ini, bermula 2009 hingga 2011 dan dari 2016 hingga Januari lalu sebelum digantikan dengan pemerintahan Hassan Diab.

Kerajaan Diab memerintah pada Februari lalu, menggantikan kerajaan Hariri yang mengundurkan diri pada 29 Oktober, berikutan tunjuk perasaan popular yang mendesak tuntutan ekonomi dan politik. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button