Berita Utama

Mesej palsu, tiada kakitangan HSA positif COVID-19

JKNJ minta orang ramai henti tular beri tak benar, elak kekeliruan

BANGI, 7 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan mesej tular berangkai di aplikasi Whatsapp, mengenai kes COVID-19 di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Aman Rabu berkata, tiada anggota Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) di HSA yang disahkan positif COVID-19, seperti ditularkan.

Bahkan, JKNJ turut menegaskan tidak memuat naik sebarang kenyataan berhubung berita tidak benar itu di laman Facebook rasmi jabatan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak menularkan sebarang berita yang tidak benar, bagi mengelakkan kebimbangan atau kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan agar mengurangkan pergerakan ke tempat-tempat awam semasa Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

“Selain itu, pemakaian penutup muka dan cecair nyah kuman hendaklah diamalkan setiap kali hendak berurusan di tempat awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam mesej yang ditularkan itu mendakwa bahawa wad pembedahan am (lelaki) di HSA terpaksa ditutup berikutan terdapat kes positif COVID-19 membabitkan kakitangan PPK.

Mesej berangkai itu turut mendakwa akan wujud kluster baharu di HSA, membabitkan kontak rapat kakitangan terbabit.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button