OIC kecam kaitkan Islam dengan keganasan
Gesa Perancis kaji dasar diskriminasi sasar umat Islam, hina Nabi Muhammad

ISTANBUL, 7 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam sebarang usaha untuk mengaitkan umat Islam dengan keganasan, termasuk tindakan Perancis membenarkan penerbitan kartun yang menghina Rasulullah.
Ini selepas Presiden Perancis, Emmanuel Macron menyatakan bahawa negaranya tidak akan menarik balik kartun kontroversi di tengah rancangan yang disebut ‘pemisahan Islamis’ di negara itu.
OIC dalam satu kenyataan menegaskan bahawa pihaknya mengecam serangan sistematik berterusan yang menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.
Organisasi yang dianggotai 57 negara itu turut terkejut dengan ucapan politik yang dikeluarkan oleh beberapa pegawai Perancis, kerana menyinggung hubungan Perancis-Islam dan mencetuskan kebencian demi politik kepartian.
“Kita juga mengecam sebarang kebenaran untuk menghina lambang mana-mana agama lain di atas nama kebebasan bersuara.
“OIC menggesa Perancis mengkaji semula dasar diskriminasi yang menyasarkan masyarakat Islam, dan menyinggung perasaan lebih daripada 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia,” katanya. – Agensi