Berita Utama

Peruntukan prorog Parlimen masih belum diuji di mahkamah?

Bagaimanapun, kuasa itu ada disebut di dalam Perkara 55

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 7 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Meskipun peruntukan mengenai prorog atau gantung Parlimen masih belum diuji di mahkamah Malaysia dan tiada penghakiman dibuat mengenainya sebelum ini, namun kuasa itu ada disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 55.

Daripada sudut perundangan, prorog adalah suatu situasi di mana ketua negara – Yang di-Pertuan Agong – menggantung Parlimen tanpa membubarkan Parlimen itu sendiri.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar menjelaskan, jika Parlimen diprorog, pilihan raya umum (PRU) tidak perlu diadakan kerana Parlimen masih lagi ada tetapi digantung.

“Persoalan juga akan timbul tentang tempoh prorog tersebut dan adakah Parlimen terbubar setelah tamat hayatnya selama lima tahun walaupun dalam tempoh prorog berkenaan.

“Kesemua ini perlu diteliti dan dikaji kerana implikasi serta ramifikasinya sangat besar kepada negara.

“Persoalan lain juga timbul sama ada dalam mengisytiharkan Parlimen diprorog adakah Yang di-Pertuan Agong memerlukan nasihat Perdana Menteri terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Zainul Rijal berkata, mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, hanya Seri Paduka sahaja boleh memanggil Parlimen untuk bersidang.

“Baginda juga mempunyai kuasa mutlak untuk menghenti atau pun membubarkan Parlimen.

“Justeru, Seri Paduka diperuntukkan oleh Perlembagaan untuk menetapkan persidangan Parlimen dalam tempoh masa enam bulan di antara persidangan yang lepas dalam penggal terakhir dan tarikh mesyuarat pertama dalam persidangan penggal akan datang,” katanya.

Info

Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan menyatakan seperti berikut:

Perkara 55. Memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen.

(1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya.

(2) Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen.

(3) Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar.

(4) Apabila Parlimen bubar suatu PRU hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh ia bubar dan Parlimen hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh itu.

(5) Sesuatu Rang Undang-Undang yang belum diputuskan di dalam Parlimen tidaklah terluput disebabkan oleh pemprorogan Parlimen.

(6) (Dimansuhkan)

(7) Sesuatu Rang Undang-Undang yang menantikan perkenan Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal (4) atau Fasal (4A) Perkara 66 tidaklah terluput disebabkan oleh pemprorogan atau pembubaran Parlimen.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button