Berita Utama

Raja-Raja Melayu bermesyuarat petang esok

Bincangkan cadangan PM untuk isytihar darurat di negara ini

BANGI, 7 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Raja-Raja Melayu dijadual mengadakan mesyuarat khas esok di Istana Negara bagi membincangkan cadangan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat bagi mendepani penularan pandemik COVID-19.

Menurut laporan The Star, sumber Istana Negara berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa mesyuarat tersebut bertujuan bagi mendapatkan pandangan daripada semua raja berhubung pengumuman darurat.

Difahamkan mesyuarat tersebut dijadualkan bermula pada 2.30 petang dan hanya melibatkan raja sahaja.

Selain itu, enam sultan negeri telah mengesahkan kehadiran mereka dan besar kemungkinan sebahagian besar raja juga akan hadir.

Pengisytiharan darurat yang dicadangkan oleh jemaah menteri membawa maksud penggantungan Parlimen dan menghentikan semua aktiviti politik, namun tidak terhadap ekonomi dan kegiatan lain.

Ia juga tidak akan melibatkan perintah berkurung dan kehadiran polis serta tentera di jalanan.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama beberapa orang menteri mempersembahkan cadangan berhubung pengisytiharan darurat kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdulaziz di Kuantan.

Mereka diiringi oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button