Berita Utama

Sidang Parlimen diteruskan jika Agong tolak cadangan darurat

PM perlu letak jawatan jika pembentangan bajet tak dapat majoriti

BANGI, 7 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Perlembagaan dan Parlimen tidak akan digantung sekiranya Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenankan cadangan pengisytiharan darurat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Oleh itu, sidang Parlimen yang dijadualkan pada bulan hadapan juga akan diteruskan, kata Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil.

Beliau berkata, walaupun ada usul undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri dalam sidang Parlimen nanti, kemungkinan ia tidak akan dibentang atau diundi bagi membolehkan usul-usul membabitkan urusan kerajaan diberi keutamaan.

“Namun pada sidang Parlimen bulan ini akan ada pembentangan perbelanjaan kerajaan untuk Bajet 2021 yang memerlukan undian Ahli-Ahli Parlimen untuk diluluskan.

“Sekiranya kerajaan tidak mendapat sokongan majoriti dalam dewan untuk usul bajet ini, maka ia jelas menunjukkan bahawa kerajaan dan Perdana Menteri telah hilang sokongan majoriti,” katanya.

Isham berkata, jika keadan itu berlaku, Muhyiddin tiada pilihan lain, selain meletakkan jawatan atau menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

“Dengan pembubaran Parlimen, Yang di-Pertuan Agong boleh melantik Perdana Menteri sementara yang lain selain Tan Sri Muhyiddin.

“Baginda juga boleh melantik kembali Tan Sri Muhyiddin jika baginda perkenan,” katanya.

BACA LANJUT ULASAN ISHAM JALIL BERHUBUNG CADANGAN PENGISYTIHARAN DARURAT DI RUANGAN PENDAPAT ISMAWEB.NET

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button