Berita Utama

Spekulasi darurat: Agong berunding dengan Raja-Raja Melayu

Al-Sultan Abdullah minta rakyat tenang, elak spekulasi mengelirukan

BANGI, 7 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat.

Menurut Istana Negara, rundingan berkenaan bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang telah dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Al-Sultan Abdullah telah menerima menghadap Muhyiddin di Istana Abdul Aziz, Kuantan jam 5 petang semalam, susulan daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri pada sebelah pagi.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka memahami keperluan kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman wabak COVID-19.

“Malah, Seri Paduka Baginda turut amat prihatin terhadap kegelisahan dan kegusaran rakyat ekoran daripada perkembangan terkini ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sejak semalam, spekulasi bertiup kencang bahawa Muhyiddin dan jemaah Kabinet bersetuju untuk mengisytiharkan darurat di tengah-tengah ketidaktentuan politik dan pandemik COVID-19.

Desas-desus dakwaan itu mencetuskan rasa panik dan kebimbangan rakyat keseluruhannya ketika ini.

Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati seluruh rakyat supaya bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini sementara menunggu keputusan mengenai cadangan-cadangan tersebut.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka turut menasihatkan rakyat supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan serta menggugatkan ketenteraman negara.

“Berhubung dengan kenaikan mendadak kes positif COVID-19 dan kewujudan beberapa kluster baharu yang berterusan di negara ini, Al-Sultan Abdullah mengulangi titah nasihat Seri Paduka Baginda kepada rakyat untuk terus memainkan peranan masing-masing dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tatacara amalan kebiasaan baharu dalam membantu pihak berkuasa memerangi COVID-19 demi keselamatan diri serta masyarakat.

“Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga Malaysia sentiasa dirahmati dan dilindungi dari segala bentuk ancaman serta penularan COVID-19 ini dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri dengan segera,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button